PETALING JAYA: Malaysia beri komitmen untuk terus menyokong aspirasi Kenya sebagai hab penting di Afrika Timur dalam bidang digital, inovasi, TVET dan peningkatan kapasiti selaras dengan semangat kerjasama selatan-selatan yang didukung negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu diberikan dalam pertemuannya dengan Presiden Kenya, Dr. William Samoei Ruto ketika mengetui delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia-Kenya.
Beliau berkata, dalam mesyuarat dua hala itu antara yang dibincangkan secara mendalam adalah isu berkait hubungan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Kami meneliti pelbagai bidang kerjasama yang berkembang pesat, merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian, industri halal, pendidikan, pembangunan modal insan, teknologi digital serta peluang baharu dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, pembangunan bandar lestari dan industri kreatif.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk isu Palestin dan Sudan, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta keperluan mendesak bagi reformasi sistem antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan benar-benar mencerminkan suara negara membangun,” katanya di Facebook semalam.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menghargai peranan signifikan Kenya sebagai tuan rumah kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, kedua-dua mereka turut bersepakat untuk memperluaskan kerjasama dalam agenda pembandaran mampan serta pembangunan bandar yang berdaya tahan.
“Saya menzahirkan penghargaan atas layanan mesra Presiden Ruto, dan turut menjemput beliau melakukan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin bagi memperkukuh hubungan persahabatan ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima sambutan rasmi di Istana Negara Republik Kenya, termasuk pemeriksaan barisan kawalan kehormatan dan tembakan meriam 19 das mencerminkan keakraban hubungan dua hala serta persahabatan mendalam sejak 1965.
Sebaik selepas istiadat, Anwar dan Ruto meneruskan agenda dengan mengadakan pertemuan empat mata bagi meneliti hala tuju hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Kenya. – UTUSAN










