Konsulat terakhir Russia di Poland ditutup susulan serangan bom - Utusan Malaysia

Konsulat terakhir Russia di Poland ditutup susulan serangan bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSAW: Poland menutup konsulat terakhir Russia di Gdańsk susulan serangan sabotaj terhadap sistem rel negara itu yang digambarkan oleh Menteri Luar Poland, Radosław Sikorski, sebagai tindakan keganasan negara yang didalangi Russia.

Beliau berkata, serangan bom pada hujung minggu lalu itu jelas bertujuan menyebabkan korban jiwa.

Menurut perkhidmatan keselamatan Poland, beberapa individu yang terlibat kini sedang diburu, dan tangkapan pertama sudah dibuat pada Rabu.

Jurucakap agensi tersebut, Jacek Dobrzyński berkata, empat suspek telah ditahan setakat ini.

Pada Selasa, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk berkata, pihak berkuasa telah mengenal pasti dua warga Ukraine yang terlibat, dipercayai tiba dari Belarus sebelum meletakkan bahan letupan pada landasan kereta api.

Kedua-duanya meninggalkan Poland sejurus selepas serangan dan tidak termasuk dalam kumpulan yang telah ditahan. Tusk mendakwa kedua-dua suspek mempunyai hubungan dengan perkhidmatan keselamatan Russia, dan salah seorang pernah ditangkap di Ukraine kerana kegiatan sabotaj.

Letupan tersebut merosakkan sebahagian landasan berhampiran bandar Mika, pada laluan penting yang menghubungkan Warsaw ke timur Poland, koridor logistik utama menuju sempadan Ukraine. Tiada kecederaan dilaporkan selepas seorang pemandu kereta api regional menyedari kerosakan pada landasan dan segera memaklumkan pihak berkuasa.

Dalam insiden berasingan, kabel elektrik berdekatan turut dimusnahkan.

Sikorski berkata penutupan konsulat Russia di Gdańsk bukanlah keseluruhan tindakan balas yang akan diambil Poland terhadap serangan tersebut, namun tidak memperincikan langkah susulan lain.

Sebelum ini, Poland telah menutup dua lagi konsulat Russia di Kraków dan Poznan. Kedutaan Russia di Warsaw kekal beroperasi.

Sebagai tindak balas, Kementerian Luar Russia berkata ia akan mengurangkan kehadiran diplomatik dan konsular Poland di Russia.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menyifatkan hubungan kedua-dua negara kini merosot sepenuhnya.

Walaupun Russia menafikan pembabitan dalam siri serangan sabotaj di Eropah, perisikan Poland dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) lain percaya Moscow menjalankan kempen pembakaran, letupan dan serangan infrastruktur untuk menguji pertahanan Eropah serta melemahkan sokongan terhadap Ukraine.

Taktik itu dilaporkan menggunakan ejen sementara yang direkrut melalui aplikasi Telegram, sering kali dalam kalangan warga Ukraine. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN