JAKARTA: Gunung Berapi Semeru iaitu gunung tertinggi di Pulau Jawa, kembali meletus petang tadi, sekali gus memaksa pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan yang bermula sekitar pukul 4 petang waktu tempatan itu memuntahkan debu panas setinggi kira-kira 2,000 meter ke udara, dengan keseluruhan ketinggian kepulan abu mencecah 5,676 meter dari aras laut.
Berikutan perkembangan itu, penduduk setempat diarahkan menjauhi kawasan dalam radius 2.5 kilometer dari puncak gunung berapi berkenaan sebagai langkah keselamatan.
“Aliran piroklastik masih berlaku dengan jarak aliran mencapai tujuh kilometer dari puncak, dan aktiviti letusan masih berterusan ketika laporan ini diterima,” kata pegawai Pos Pemantauan Gunung Berapi Indonesia, Mukdas Sofian.
Gunung Semeru yang berketinggian lebih 3,600 meter merupakan antara hampir 130 gunung berapi aktif di Indonesia yang terletak dalam ‘Lingkaran Api Pasifik’, kawasan yang sering mengalami letusan gunung berapi dan gempa bumi.










