SYDNEY: Australia bersiap sedia menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial terhadap individu bawah 16 tahun dengan Meta mengesahkan platform Facebook dan Instagram akan mula menyekat akses pengguna bawah umur bermula 4 Disember.
Peraturan baharu itu mewajibkan semua platform termasuk Facebook, Instagram dan TikTok, menyekat pengguna bawah umur menjelang 10 Disember atau berdepan denda yang besar.
Meta memaklumkan, ia akan mula menyekat kumpulan umur berkenaan daripada platformnya sebelum larangan tersebut berkuat kuasa.
“Meta ingin memaklumkan kepada pengguna Australia berusia 13 hingga 15 tahun, yang mereka akan kehilangan akses kepada Instagram, Threads dan Facebook.
“Meta akan mula menyekat akaun baharu bawah 16 tahun dan menarik balik akses sedia ada bermula 4 Disember dan menjangka dapat mengeluarkan semua pengguna bawah 16 tahun menjelang 10 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut data kerajaan, terdapat 350,000 pengguna Instagram berusia antara 13 hingga 15 tahun di Australia dan sekitar 150,000 akaun Facebook.
Meta juga sudah mula memberi amaran kepada pengguna terlibat berhubung status sekatan akaun mereka yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Tidak lama lagi, anda tidak lagi boleh menggunakan Facebook dan profil tidak akan dapat dilihat oleh anda dan orang lain,” menurut mesej yang dihantar kepada pengguna terjejas.
Meta berkata, remaja di Australia akan dapat mengakses semula akaun mereka sebaik sahaja mencecah usia 16 tahun.
Akaun yang ditandai secara tidak sengaja boleh mengesahkan umur mereka menggunakan ‘video swafoto’ atau dengan memberikan kad pengenalan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Sebelum ini, syarikat media sosial itu menyifatkan undang-undang tersebut sebagai ‘kabur’, bermasalah dan tergesa-gesa.
“Kami berkongsi matlamat sama dengan Kerajaan Australia untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang selamat dan sesuai mengikut umur, tetapi memutuskan hubungan remaja daripada rakan serta komuniti mereka bukanlah jawapannya,” kata Meta.
Selain Australia, New Zealand juga sudah mengambil langkah serupa dengan memperkenalkan rang undang-undang untuk mengehadkan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.- AFP










