WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah AS$24 juta (RM100.7 juta) kepada beberapa negara Caribbean termasuk Jamaica, Haiti, Bahamas dan Cuba yang dilanda taufan Melissa minggu lalu, menurut kenyataan Jabatan Negara AS pada Selasa.
Agensi itu berkata, pasukan khas dikerahkan bagi membantu operasie kecemasan dan menilai keperluan kemanusiaan selepas taufan kategori lima itu mengakibatkan kemusnahan besar-besaran, memutuskan hubungan komuniti dan meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa di seluruh rantau Caribbean.
Menurut kenyataan rasmi, pentadbiran Presiden, Donald Trump telah meluluskan AS$12 juta (RM50.35 juta) untuk Jamaica, AS$8.5 juta (RM35.65 juta) untuk Haiti, dan AS$500,000 (RM2.09 juta) untuk Bahamas.
“Pasukan kami di lapangan sedang menilai tahap kerosakan dan kami akan mengumumkan pakej bantuan tambahan dalam beberapa hari lagi setelah dikenal pasti kawasan paling memerlukan,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS.
Katanya, bantuan tambahan dijangka disalurkan kepada Jamaica dan Haiti.
Selain itu, AS$3 juta (RM12.58 juta) bantuan untuk Cuba diluluskan dan akan disalurkan melalui kerjasama dengan Gereja Katolik, selepas Setiausaha Negara Marco Rubio mengisytiharkan keperluan kemanusiaan di negara itu.
Beliau turut menegaskan Washington mahu menyalurkan bantuan terus kepada rakyat Cuba.
Trump, yang mengambil pendirian tegas terhadap kerajaan komunis Cuba sebelum ini berikrar untuk menguatkuasakan larangan pelancongan AS ke Cuba serta mengekalkan sekatan ekonomi terhadap negara tersebut.
Pegawai Jabatan Negara berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak gereja bagi memastikan bekalan bantuan yang dibiayai AS dapat diagihkan terus kepada rakyat Cuba dan menegaskan kerajaan Cuba tidak memohon bantuan rasmi daripada Washington.
“Tidak kira apa yang dikatakan rejim Cuba, kami prihatin terhadap rakyatnya, dan kami berbesar hati kerana setakat ini kerajaan Cuba tidak menghalang penyaluran bantuan,” kata pegawai itu kepada Reuters.











