MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mendakwa tentera negaranya menguasai hampir 5,000 kilometer persegi wilayah Ukraine sepanjang tahun 2025 dan kini memegang sepenuhnya inisiatif strategik di medan perang.
Berucap dalam pertemuan dengan komander tertinggi tentera di barat laut Russia, Putin berkata tentera Ukraine kini berundur di semua sektor, walaupun Kyiv berusaha melancarkan serangan jauh ke wilayah Russia.
“Pada ketika ini, Angkatan Tentera Russia memegang sepenuhnya inisiatif strategik.
“Tahun ini sahaja, kita telah membebaskan hampir 4,900 km persegi tanah dan 212 penempatan,” kata Putin, menurut transkrip Kremlin
Putin menyatakan usaha Ukraine untuk menembusi sempadan Russia tidak akan mengubah kedudukan mereka dalam perang yang telah berlarutan lebih tiga tahun setengah sejak Februari 2022.
Kementerian Pertahanan Russia pada hari sama turut mengumumkan kejayaan menawan dua lagi kampung di sepanjang garis hadapan yang kini menjangkau lebih 1,250 kilometer, menurut pihak tentera Ukraine.
Sementara itu, pihak Ukraine melaporkan kejayaan di beberapa kawasan, termasuk berhampiran bandar Dobropillia di wilayah Donetsk, serta kemajuan di kawasan sempadan Sumy, di mana tentera Russia cuba memperkukuh kedudukan mereka.
Ketua Turus Tentera Rusia, Jeneral Valery Gerasimov, berkata pasukannya kini sedang mara ke bandar strategik Siversk dan Kostyantynivka di Donetsk.
Beliau juga mendakwa tentera Russia ‘membersihkan’ tentera Ukraine dari bandar Kupiansk di timur laut, serta mara di wilayah Zaporizhzhia, Dnipropetrovsk, dan mengukuhkan zon penampan di Sumy dan Kharkiv.











