BAITULMUQADDIS: Ketegangan antara kepemimpinan tentera dan politik Israel dilaporkan semakin memuncak apabila Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Eyal Zamir, menentang secara terbuka rancangan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza.
Menurut dua pegawai Israel yang dipetik CNN, Zamir mencabar keputusan itu dalam dua mesyuarat Kabinet Keselamatan berkaitan operasi di Gaza City.
Beliau memberi amaran mengenai risiko 48 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza serta keselamatan tentera yang terlibat di medan pertempuran.
Zamir turut membangkitkan kebimbangan berhubung kemungkinan perpindahan sehingga sejuta rakyat Palestin serta implikasi kemanusiaan dan strategik daripada operasi tersebut.
Walaupun mendapat bantahan daripada pihak tentera, puluhan ribu anggota simpanan Israel dilaporkan mula melapor diri bagi persiapan operasi besar itu, selepas hampir dua tahun konflik berterusan di Gaza.
Dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan yang tegang pada Ahad lalu, Zamir sekali lagi menggesa menteri supaya mempertimbangkan cadangan gencatan senjata terbaharu dikemukakan oleh pengantara Mesir dan Qatar, yang turut diterima Hamas.
“Terdapat satu kerangka yang dikemukakan, dan kita seharusnya menerima,” kata Zamir, menurut pegawai Israel yang dimaklumkan mengenai mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Netanyahu memilih untuk tidak membangkitkan cadangan tersebut atau meletakkannya dalam agenda Kabinet, namun Zamir tetap bertegas menyuarakan pendiriannya.
Pegawai berkenaan mendakwa, Zamir turut memberi amaran keputusan untuk mengambil alih Gaza City akan membawa kepada pendudukan penuh tentera ke atas seluruh Gaza, sekali gus menjadi rejim bertanggungjawab terhadap keseluruhan penduduk.
“Awak perlu faham, keputusan untuk menakluki Gaza City bermakna anda menuju ke arah pentadbiran ketenteraan penuh, satu-satunya pihak yang akan bertanggungjawab terhadap penduduk tempatan ialah IDF,” demikian amaran Zamir dalam kenyataan yang dibocorkan kepada beberapa media Israel dan disahkan CNN.
Sementara itu, jurucakap IDF enggan mengulas mengenai kenyataan yang dikaitkan dengan pemimpinnya.











