Belgium bakal iktiraf negara Palestin, kenakan sekatan ke atas Israel

Belgium bakal iktiraf negara Palestin, kenakan sekatan ke atas Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Belgium akan mengiktiraf Negara Palestin pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hujung bulan ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot semalam.

“Palestin akan diiktiraf oleh Belgium di sesi PBB! Dan sekatan tegas akan dikenakan terhadap pentadbiran Israel,” kata Prevot, yang juga Timbalan Perdana Menteri, melalui platform media sosial X awal Selasa.

Beliau berkata, Israel akan berdepan 12 sekatan daripada Belgium, termasuk larangan import produk dari penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki dan semakan semula dasar perolehan awam dengan syarikat-syarikat Israel.

Prevot, yang juga ahli Parti Les Engages berkata, Belgium membuat keputusan itu berdasarkan tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza.

“Kita telah melihat keadaan mengerikan di lapangan, dengan rakyat kebuluran dan ia sama sekali tidak boleh diterima. Memutuskan semua bantuan kemanusiaan adalah jenayah perang,” katanya kepada Al Jazeera.

Beliau menambah, keputusan itu juga dibuat susulan tindakan Israel melancarkan semula projek penempatan haram E1 di Baitulmuqqadis Timur yang diduduki serta peluasan penempatan haram lain bagi mengekalkan kemungkinan penyelesaian dua negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengiktirafan tersebut hanya akan dimuktamadkan selepas tahanan terakhir dibebaskan dari Gaza dan Hamas tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam mentadbir Palestin.

“Dari sudut intelektual, pengiktirafan sesebuah negara seharusnya tanpa syarat. Tetapi kita juga perlu menguruskan sensitiviti berbeza dalam gabungan kerajaan Belgium. Kami terdiri daripada lima parti, dan tidak semestinya sehaluan,” katanya.

Kementerian Luar Palestin menyambut baik pengumuman Belgium itu dan menyeru negara-negara lain untuk mengambil langkah serupa bagi mempergiat usaha praktikal menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai, pengusiran, kebuluran, dan aneksasi, serta membuka laluan politik sebenar untuk menyelesaikan konflik.

Dalam satu kenyataan di X, kementerian itu menyifatkan langkah Belgium selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, melindungi penyelesaian dua negara serta menyokong usaha mencapai keamanan.

Kerajaan Israel setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan tersebut.

Namun, Pemimpin parti pembangkang Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman menyifatkan keputusan Belgium itu sebagai kesan langsung daripada kegagalan politik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Disebabkan ketidakmampuan Netanyahu menguruskan arena politik, sebuah negara Palestin sedang diwujudkan di depan mata kita. Keputusan Belgium untuk menyertai langkah pengiktirafan dan sekatan ini adalah satu lagi kesan langsung daripada kegagalan politiknya,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN