WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas sebuah bot laju yang membawa dadah ke negara itu, mengakibatkan 11 ahli kumpulan yang didakwa sebagai ‘narkoterroris’ terbunuh dalam kejadian di perairan antarabangsa, semalam.
Presiden AS, Donald Trump berkata, serangan ketenteraan itu dilaksanakan selepas mendapat arahannya dan menyasarkan kumpulan Tren de Aragua, sindiket dadah dari Venezuela yang didakwa beroperasi di bawah kawalan Presiden, Nicolas Maduro.
Trump turut memuat naik rakaman video berdurasi pendek di platform Truth Social, yang menunjukkan bot laju terbabit meletup dan terbakar selepas terkena serangan.
“Awal pagi ini, atas arahan saya, Angkatan Tentera AS telah melaksanakan serangan kinetik terhadap kumpulan narkoteroris Tren de Aragua yang dikenal pasti dengan jelas. Serangan itu berlaku di perairan antarabangsa ketika kumpulan berkenaan membawa dadah haram ke arah AS. Serangan itu membunuh 11 pengganas di lokasi,” katanya.
Trump menegaskan tiada anggota tentera AS yang cedera dalam operasi tersebut sambil memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menyeludup dadah ke negaranya.
Ketegangan antara Caracas dan Washington meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas AS mengerah lapan kapal perang ke rantau Amerika Latin dalam usaha yang digelar sebagai operasi memerangi pengedaran dadah.
Kapal perang tersebut termasuk tiga kapal serangan amfibia, dua kapal pemusnah, sebuah kapal penjelajah, sebuah kapal tempur pesisir di Laut Caribbean, dan sebuah kapal pemusnah lain di timur Lautan Pasifik, menurut seorang pegawai pertahanan AS.
Sebagai reaksi, Maduro mengisytiharkan keadaan kesiapsiagaan maksimum bagi menghadapi ancaman ketenteraan AS dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan menghentikan penempatan tentera Amerika di Caribbean.
Maduro yang kini berdepan ganjaran buruan AS$50 juta (RM211 juta) oleh Washington berikutan tuduhan jenayah dadah, mendakwa tindakan AS itu sebagai cubaan menukar rejimnya.
Pemerhati antarabangsa berpendapat kerahan kapal perang tersebut adalah langkah meningkatkan tekanan terhadap Maduro yang sebelum ini berulang kali menuduh Trump mahu menjatuhkan kerajaannya. -AFP










