MANCHESTER: Pergaduhan terus tercetus dalam protes anti-migran di United Kingdom (UK) pada Sabtu, dengan pihak polis melakukan beberapa tangkapan.
Penunjuk perasaan yang menuntut penghantaran pulang besar-besaran migran berkumpul di pusat bandar Manchester, barat laut England dalam satu perarakan dianjurkan kumpulan pelampau kanan Britain First, yang telah dicabar oleh kumpulan anti-perkauman.
Sementara itu di pusat bandar London, penunjuk perasaan yang saling bertentangan berkumpul di luar sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka, susulan beberapa kejadian serupa baru-baru ini yang turut bertukar ganas.
Di Manchester, kedua-dua kumpulan bertembung seketika pada permulaan protes sebelum pihak polis menyuraikan mereka, menurut seorang wartawan AFP di lokasi.
“Hantar mereka pulang, jangan benarkan mereka masuk. Hentikan sahaja kemasukan mereka, kita sudah ada hotel dipenuhi dengan pendatang.
“Rakyat kita sendiri tidur merempat di jalanan meminta makanan dan tiada tempat tinggal,” kata seorang penunjuk perasaan, Brendan O’Reilly berusia 66 tahun.
Penunjuk perasaan balas, Judy, seorang bekas jururawat berusia 60 tahun berkata, dia hadir kerana tidak mahu melihat orang ramai yang penuh kebencian memenuhi jalan-jalan Manchester.
“Adakah mereka mahu semua dihantar pulang atau hanya orang berkulit gelap? Saya rasa hanya orang berkulit gelap yang mereka mahu pulangkan,” tambahnya.
Di London, pertembungan serupa tercetus di luar sebuah hotel di kawasan Barbican sebelum polis campur tangan.
Polis Metropolitan menulis di laman X, pegawai sudah mengosongkan satu simpang di mana penunjuk perasaan balas berkumpul, melanggar syarat yang telah ditetapkan.
“Setakat ini sembilan tangkapan dibuat, tujuh daripadanya kerana melanggar syarat di bawah Akta Ketenteraman Awam,” tambah kenyataan itu.
Beberapa lokasi di seluruh UK menjadi titik panas sejak minggu-minggu kebelakangan ini, terutamanya di kawasan timur laut London, Epping.-AFP










