BANGKOK: Mahkamah tentera Myanmar menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap 12 individu, termasuk lima warga China ekoran penglibatan mereka dalam beberapa kes pemerdagangan manusia.
Menurut akhbar Myanmar Alinn, sabitan tersebut melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pengedaran video seks secara dalam talian dan pemerdagangan wanita Myanmar untuk dijadikan isteri secara paksa di China.
Dalam satu kes, lima individu termasuk dua warga China yang dikenal pasti sebagai Lin Te dan Wang Xiaofeng dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera di Yangon.
Mereka didapati bersalah di bawah undang-undang anti-pemerdagangan manusia Myanmar kerana menghasilkan video seks melibatkan tiga pasangan Myanmar dan mengedarkannya secara dalam talian untuk tujuan keuntungan.
Dalam kes berasingan, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman terhadap seorang wanita dan tiga warga China dikenali sebagai Yibo, Cao Qiu Quan dan Chen Huan.
“Kumpulan ini disabitkan kesalahan kerana merancang untuk membawa dua wanita Myanmar, yang baru berkahwin dengan dua daripada lelaki China tersebut, ke Beijing,” jelas laporan itu.
Selain itu, tiga lagi individu turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera lain kerana menjual seorang wanita untuk dijadikan isteri secara paksa kepada warga China serta cuba melakukan perkara sama terhadap seorang lagi wanita.
Dalam kes lain, seorang wanita dari wilayah Magway di tengah Myanmar dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 30 Julai kerana merancang untuk menjual dua wanita Myanmar untuk tujuan serupa.
Pemerdagangan manusia, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak perempuan yang diperdaya atau dipaksa berkahwin di China, kekal sebagai isu serius di Myanmar ketika negara itu masih bergelut dengan perang saudara selepas rampasan kuasa oleh tentera.
Konflik yang berterusan di kebanyakan kawasan di Myanmar menyebabkan berjuta-juta wanita dan kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Mejar Jeneral Aung Kyaw Kyaw dalam satu mesyuarat berkata, pihak berkuasa mengendalikan lebih 53 kes berkaitan pemerdagangan manusia, perkahwinan paksa dan pelacuran sejak tahun lalu, di mana 34 daripadanya melibatkan China.
Laporan itu juga menyatakan sejumlah 80 kes pemerdagangan manusia, termasuk 14 kes penipuan perkahwinan oleh warga asing direkodkan dari Januari hingga Jun tahun ini.










