Keluarga mangsa bedilan roket di Si Sa Ket terima pampasan kerajaan

Keluarga mangsa bedilan roket di Si Sa Ket terima pampasan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kerajaan Thailand menyalurkan pampasan berjumlah lebih 9 juta baht (RM1.17 juta) kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam pertempuran sempadan baru-baru ini antara pasukan Thailand dan Kemboja di wilayah Si Sa Ket.

Timbalan Perdana Menteri, Prasert Jantararuangtong pada Sabtu mempengerusikan mesyuarat bersama agensi-agensi tempatan di dewan wilayah Si Sa Ket.

Beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan roket oleh Kemboja di daerah Kantharalak pada 24 Julai lalu.

Gabenor Si Sa Ket, Anupong Suksamnit bersama ketua-ketua agensi tempatan dan keluarga mangsa hadir menyambut kehadiran menteri dalam suasana yang suram dan penuh duka.

Roket yang ditembak dari arah Kemboja pada hari pertama pertempuran memusnahkan sebuah kedai 7-Eleven di kawasan stesen minyak PTT dan kawasan sekitarnya di Ban Phue.

Letupan tersebut mengorbankan sembilan orang awam, lapan daripadanya terbunuh dalam kawasan stesen minyak tersebut.

Setiap keluarga mangsa menerima 1 juta baht (RM130,573) sebagai pampasan, selain 29,700 baht (RM3,878) tambahan untuk kos pengebumian, menjadikan jumlah keseluruhan yang diagihkan hampir 9.3 juta baht (RM1.2 juta).

Prasert menyeru agar pihak pentadbiran tempatan dan agensi berkaitan segera mempercepatkan usaha bantuan dan memastikan segala bentuk pertolongan sampai dengan pantas kepada penduduk yang terjejas.

Beliau turut mengarahkan pejabat Wilayah Si Sa Ket di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia agar menyegerakan dokumentasi dan memulakan penilaian kerosakan terhadap infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, hospital, rumah serta tapak-tapak bersejarah.

Ia penting sebagai langkah awal untuk memohon sokongan lanjut daripada kerajaan pusat.

“Jangan biarkan sesiapa pun dilupakan dalam tragedi ini,” tegas Prasert.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN