GAZA: Hamas sekali lagi menegaskan tidak akan melucutkan senjata selagi sebuah negara Palestin yang berdaulat belum diwujudkan, sekali gus menolak syarat utama Israel dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.
Kenyataan itu dikeluarkan kumpulan pejuang itu selepas Utusan Amerika Syarikat (AS) bagi Asia Barat, Steve Witkoff, mendakwa Hamas menyatakan kesediaan untuk meletakkan senjata dalam lawatan pertamanya ke Gaza kelmarin.
Israel menganggap perlucutan senjata Hamas sebagai antara syarat utama untuk sebarang perjanjian bagi menamatkan konflik.
Rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak berhubung gencatan senjata dan pembebasan tebusan dilaporkan tergendala minggu lalu.
HAK BERJUANG, PEGANG SENJATA
Negara Arab sebelum ini menggesa Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan kawalan ke atas Gaza, susulan pengumuman beberapa negara Barat termasuk Perancis dan Kanada, untuk mengiktiraf negara Palestin.
Britain turut menyatakan hasrat sama sekiranya Israel gagal memenuhi syarat tertentu menjelang September.
Namun, Hamas dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan melepaskan hak untuk berjuang dan memegang senjata, kecuali Palestin menjadi negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.
Jumaat lalu, Ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir memberi amaran serangan di Gaza tidak akan dihentikan sekiranya rundingan untuk membebaskan tebusan gagal dicapai dalam masa terdekat.
Kelmarin, keluarga tebusan Evyatar David mengeluarkan kenyataan selepas Hamas menyiarkan video yang menunjukkan beliau dalam keadaan kurus kering dan tidak berbaju di dalam sebuah terowong gelap.
Mereka menuduh Hamas menyeksa dan membiarkan mangsa kelaparan sebagai sebahagian daripada kempen propaganda, selain merayu kerajaan Israel serta AS mengambil langkah segera untuk menyelamatkannya.
Witkoff tiba di Israel ketika kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berdepan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak ekoran situasi kemanusiaan di Gaza.
Utusan khas Presiden Donald Trump itu turut mengadakan pertemuan dengan keluarga tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza, dalam satu sesi tertutup di Tel Aviv pada Sabtu.
Dalam kenyataannya, Witkoff menegaskan usaha damai sepatutnya menumpukan kepada penamatan konflik dan membawa pulang semua tebusan, bukan sebaliknya sekadar perjanjian separuh jalan.
Sebagai sebahagian rangka lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Netanyahu, sebelum meninjau tapak agihan bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di selatan wilayah terkepung itu pada Jumaat.
WAYANG AMERIKA-ISRAEL
Witkoff mendakwa menghabiskan masa lima jam di Gaza bagi memahami dengan lebih mendalam situasi kemanusiaan di wilayah itu untuk melaporkannya kepada Trump.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Hamas mengutuk lawatan pemimpin AS itu sebagai tidak lebih daripada sekadar peluang bergambar.
“Witkoff, Gaza bukan ladang haiwan yang memerlukan lawatan peribadi yang dikhaskan untuk bergambar di hadapan perangkap maut yang dikawal syarikat AS,” kata bekas Menteri Kesihatan Palestin di Gaza, Basem Naim dalam satu kenyataan.
Penduduk Palestin mendakwa mereka ditembak oleh tentera Israel ketika sedang menunggu bantuan makanan berhampiran pusat agihan yang dilawati Witkoff pada Jumaat.
Hospital Nasser yang terletak berhampiran Khan Younis memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga maut dan enam lagi cedera akibat tembakan berhampiran pusat tersebut.
IDF mendakwa melepaskan tembakan amaran bagi menghalang sekumpulan orang awam daripada menghampiri anggota tentera, selepas meminta mereka beredar.
Pasukan itu sekali lagi mendakwa kononnya tidak mengetahui sebarang kecederaan akibat tembakan tersebut, namun sedia menyiasat insiden berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Kedutan AS pula mendakwa tidak menerima sebarang laporan pertempuran atau kecederaan di kawasan sekitar lawatan tersebut.
Lawatan Witkoff ke Israel merupakan yang kedua dalam tempoh dua minggu.
Minggu lalu, beliau secara mengejut menarik keluar delegasi AS daripada rundingan gencatan senjata di Qatar, dengan menuduh Hamas berunding secara tidak jujur.
Witkoff berkata, pentadbiran Trump akan meneroka pilihan alternatif untuk membawa pulang tebusan dan mewujudkan persekitaran lebih stabil untuk rakyat Gaza.
Hamas kemudian dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam rundingan damai.-AGENSI










