Bangladesh sudah tidak mampu tampung pelarian Rohingya, rayu dunia bertindak - Utusan Malaysia

Bangladesh sudah tidak mampu tampung pelarian Rohingya, rayu dunia bertindak

SEJUMLAH pelarian Rohingya tiba di wilayah Aceh, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh kini mengaku tidak lagi mampu memperuntukkan sumber tambahan bagi menampung jumlah pelarian Rohingya yang terus meningkat, sementara sokongan antarabangsa pula semakin merosot.

Ketua kerajaan sementara negara itu, Muhammad Yunus menyuarakan kebimbangan tersebut ketika berucap pada persidangan dua hari di Cox’s Bazar pada Isnin. Persidangan itu dianjurkan menjelang mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September depan.

Krisis Rohingya kini memasuki tahun kelapan sejak ratusan ribu pelarian melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Myanmar. Hari ini, lebih 1.3 juta pelarian ditempatkan di 33 kem di Cox’s Bazar, menjadikannya penempatan pelarian terbesar di dunia.

Namun, dana bantuan semakin meruncing. Pelan Tindak Balas Bersama 2025–2026 hanya menerima 36 peratus daripada jumlah yang diminta, iaitu hampir AS$935 juta (RM3.94 bilion).

“Bangladesh tidak nampak sebarang ruang untuk menggerakkan lagi sumber dari dalam negara bagi menampung pelarian,” kata Yunus yang juga penerima Hadiah Nobel.

Menurut beliau, rakyat Bangladesh khususnya komuniti tuan rumah di Cox’s Bazar telah menanggung pengorbanan besar sejak lapan tahun lalu.

“Kesan terhadap ekonomi, sumber, alam sekitar, ekosistem, masyarakat dan tadbir urus negara amat besar,” tambahnya.

Yunus menegaskan isu Rohingya perlu terus kekal dalam agenda global sehingga penyelesaian mampan dicapai, termasuk memastikan mereka dapat pulang ke tanah asal di Rakhine.

Namun, usaha repatriasi yang disokong PBB terus buntu sejak junta tentera merampas kuasa di Myanmar pada 2021, sekali gus mencetuskan pertempuran berterusan antara tentera junta dan kumpulan etnik Arakan Army. Tahun lalu sahaja, jumlah pelarian meningkat 150,000 akibat konflik yang semakin meruncing di Rakhine.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya merangka pelan praktikal untuk menamatkan keganasan, memulihkan keamanan di Rakhine dan membawa pihak bertanggungjawab terhadap pembersihan etnik ke muka pengadilan.

“Kami menyeru semua pihak menilai semula hubungan mereka dengan Myanmar, Arakan Army dan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik demi mencari penyelesaian segera kepada krisis berlarutan ini.

“Kami juga menggesa agar komuniti antarabangsa menggerakkan proses pengadilan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan forum lain,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN