WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan terdapat peluang cerah untuk mencapai perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata di Gaza bersama kumpulan pejuang Palestin, Hamas minggu ini.
Bercakap kepada wartawan sebelum berlepas ke Washington, Trump berkata, perjanjian itu bakal menyaksikan beberapa tebusan dibebaskan.
Sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata beliau berharap pertemuan akan datang dengan Trump dapat membantu mempercepatkan rundingan gencatan senjata di Gaza dan beliau telah menghantar pasukan perunding ke Doha bagi memulakan rundingan tidak langsung dengan Hamas.
Seorang pegawai Palestin yang terlibat dalam rundingan itu mengesahkan bahawa perbincangan awal antara Israel dan Hamas telah bermula di Qatar.
“Rundingan ini tertumpu kepada mekanisme pelaksanaan dan pertukaran tebusan dengan maklum balas disampaikan melalui perantara,” katanya.
Di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk menamatkan perang yang kini memasuki bulan ke-22, Netanyahu dijadualkan bertemu Trump pada Isnin. Presiden AS itu juga dikatakan sedang menggandakan usaha untuk menamatkan konflik bersenjata berpanjangan di Gaza.
“Saya menghantar pasukan ke Doha dengan arahan jelas. Saya percaya pertemuan dengan Trump boleh membantu mempercepatkan perjanjian ini, sesuatu yang kita semua harapkan,” kata
Netanyahu sebelum menaiki pesawat rasmi ke Washington.
“Kita telah berjaya membawa keluar ramai tebusan sebelum ini. Dan untuk baki yang masih ditahan, agak ramai juga akan dibebaskan,” kata Trump.
Beliau turut memaklumkan AS sedang mengusahakan pelbagai inisiatif bersama Israel termasuk kemungkinan perjanjian kekal dengan Iran.
Sebelum ini, Netanyahu berkata draf perjanjian gencatan senjata yang disokong AS telah menerima respons daripada Hamas yang mengandungi tuntutan tidak boleh diterima.
Sejak bermulanya perang Israel-Hamas pada Oktober 2023, beberapa gencatan senjata sementara telah dicapai dengan bantuan perantara membolehkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel.
Daripada 251 tebusan yang ditawan Hamas sejak serangan Oktober 2023, seramai 49 masih ditahan di Gaza termasuk 27 yang disahkan meninggal dunia oleh pihak tentera Israel.










