SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, kembali ditahan hari ini selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul meluluskan waran tangkap terhadapnya bagi membantu siasatan berhubung cubaan mengisytiharkan darurat tentera pada tahun lalu.
Keputusan mahkamah itu mengukuhkan siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan pendakwa khas, yang menyiasat dakwaan tindakan Suk-yeol pada Disember lalu merupakan penyalahgunaan kuasa serta cubaan menghalang keadilan.
Menurut kenyataan mahkamah, waran tangkap tersebut dikeluarkan atas kebimbangan Suk-yeol mungkin akan memusnahkan bahan bukti berkaitan kes berkenaan.
Ahli politik konservatif itu kini berdepan pertuduhan jenayah pemberontakan akibat pengisytiharan darurat tenteranya , satu kesalahan serius yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman mati di bawah undang-undang Korea Selatan.
Suk-yeol dihantar semula ke Pusat Tahanan Seoul, terletak kira-kira 20 kilometer di selatan ibu negara, selepas keputusan mahkamah diumumkan. Beliau sebelum ini pernah ditahan selama 52 hari pada awal tahun ini, namun dibebaskan empat bulan lalu atas sebab teknikal.
Pada April, Mahkamah Perlembagaan telah menggugurkan beliau daripada jawatan presiden selepas menyokong keputusan Parlimen yang memecat Suk-yeol susulan cubaan darurat tentera.
Siasatan baharu diteruskan selepas Presiden Lee Jae-myung memenangi pilihan raya pada Jun lalu. Pasukan pendakwa memberi tumpuan kepada beberapa pertuduhan tambahan, termasuk dakwaan Suk-yeol secara sengaja meningkatkan ketegangan dengan Korea Utara sehingga mengancam keselamatan negara.
Yoon hadir ke mahkamah semalam untuk prosiding waran penahanan, berpakaian sut biru tua dan bertali leher merah, namun enggan memberikan sebarang komen kepada media.
Peguam beliau pula menafikan segala pertuduhan, menyifatkan tindakan menahan semula Suk-yeol sebagai tergesa-gesa dan tidak berasas.
Menurut laporan media tempatan, lebih 1,000 penyokong Suk-yeol berkumpul di perkarangan mahkamah semalam, sambil mengibarkan bendera, membawa sepanduk, dan melaungkan sokongan dalam cuaca panas mencecah 35 darjah Celsius.










