KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk memperkenalkan pasaran elektrik borong secara berasingan bagi pengguna tenaga berkapasiti tinggi termasuk pusat data menjelang 2029 atau 2030.
Pengarah Bahagian Pasaran, Kawal Selia dan Perancangan Suruhanjaya Tenaga (ST), Rumaizi Abdul Halim berkata, pasaran khas tersebut dirangka bagi memenuhi permintaan pengguna elektrik berskala besar tanpa menjejaskan pasaran sedia ada.
Katanya, pasaran pembeli tunggal yang memberi perkhidmatan kepada pengguna isi rumah, kilang dan premis komersial sedia ada akan kekal beroperasi seperti biasa.
“Hasrat kerajaan adalah membenarkan pembangunan pusat data berkembang, tetapi dalam masa sama tidak membiarkannya memberi kesan secara langsung ke atas kos tenaga bagi industri-industri lain.
“Pertumbuhan permintaan elektrik yang pesat daripada syarikat-syarikat besar disifatkan mencukupi untuk menyokong pengenalan pasaran borong berasingan ini,” katanya dalam sesi panel berhubung Powering Malaysia’s Digital Economy: Renewable Energy and Data Centre Roadmap anjuran Bursa Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua pasaran berkenaan bakal beroperasi di bawah satu kerangka kerja pasaran utama dan dikendalikan oleh pengendali pasaran tunggal.
“Pembangunan pusat data hanya mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan, berbanding projek penjanaan kuasa yang memerlukan tempoh empat hingga lima tahun, atau sehingga enam ke tujuh tahun disebabkan kekangan bekalan peralatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Pihak Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Nor Azah Masrom menekankan bahawa pelaksanaan projek tenaga boleh baharu (TBB) mengikut jadual amat kritikal bagi menampung lonjakan permintaan elektrik.
“Proses kelulusan yang panjang, keperluan pembiayaan dan ketersambungan grid kekal menjadi cabaran utama pemaju TBB. Sebagai contoh, kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sahaja boleh mengambil masa sehingga tiga tahun sebelum pembinaan dua tahun dijalankan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Perkhidmatan Perniagaan dan Operasi Wilayah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noorzita Mohamad Nor berkata, pihaknya memberi tumpuan untuk memastikan pelaburan pusat data memberi limpahan ekonomi domestik yang lebih besar.
Menurut beliau, kelulusan pelaburan pusat data terkini telah menyertakan syarat kandungan tempatan sebanyak 30 peratus bagi membuka lebih banyak peluang kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan. –UTUSAN










