NEW DELHI: Sekumpulan penduduk kampung di India membunuh lima sekeluarga sebelum membuang mayat mereka ke dalam tasik, selepas menuduh keluarga itu mengamalkan ilmu sihir berikutan kematian seorang budak lelaki, menurut pihak polis.
Tiga individu telah ditahan dan mengaku terlibat dalam kejadian kejam itu, kata polis negeri Bihar dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mangsa termasuk tiga wanita dengan salah seorang daripadanya berusia 75 tahun.
“Suspek utama mempercayai bahawa kematian anak lelakinya baru-baru ini berpunca daripada salah seorang mangsa dan menuduh mangsa dan keluarganya mengamalkan ilmu sihir,” menurut kenyataan polis.
Selepas memukul mangsa sehingga mati, pembunuh memuatkan mayat ke dalam sebuah traktor sebelum mencampakkannya ke dalam sebuah kolam, jelas polis lagi.
Kedua-dua pihak iaitu mangsa dan suspek merupakan ahli suku kaum Oraon, kumpulan etnik pribumi di Bihar, negeri termiskin di India dengan populasi sekitar 130 juta penduduk yang majoritinya beragama Hindu.
Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan untuk membanteras kepercayaan karut dan khurafat, amalan mempercayai ilmu sihir masih berleluasa di kawasan luar bandar dan komuniti suku kaum terpencil di seluruh India.
Sesetengah negeri termasuk Bihar telah menggubal undang-undang khas bagi membendung jenayah terhadap individu yang dituduh mengamalkan ilmu sihir.
Namun, kejadian pembunuhan kejam melibatkan sekeluarga ini disifatkan sebagai antara insiden paling mengerikan sejak kebelakangan ini.
Statistik dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India (NCRB) menunjukkan lebih daripada 1,500 orang, kebanyakannya wanita telah dibunuh kerana dituduh mengamalkan ilmu sihir antara 2010 hingga 2021.
Walaupun sebahagian masyarakat masih percaya kepada kuasa ghaib, motif di sebalik serangan seperti ini sering kali berkait dengan perebutan tanah, harta pusaka atau dendam peribadi.










