JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.7 skala Richter di Kepulauan Sumatera hari ini menyebabkan lebih 100 kediaman rosak dengan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Gempa bumi itu berlaku pukul 2.52 pagi waktu tempatan pada kedalaman 68 kilometer dengan pusat gempa terletak berhampiran wilayah Bengkulu, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Agensi Meteorologi Indonesia mengukur gempa itu pada kekuatan 6.0 skala Richter dengan kedalaman 84 kilometer, selain tiada ancaman tsunami.
Gegaran itu merosakkan lebih 100 rumah penduduk dan ekurang-kurangnya enam kemudahan awam di Bengkulu, menurut jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari.
“Di Bengkulu, sebanyak 140 rumah terjejas akibat gempa itu dengan lapan daripadanya runtuh dan tidak boleh dibaiki semula,” katanya.
Di Bengkulu Tengah, dua rumah turut rosak.
Penduduk setempat memaklumkan, mereka terjaga daripada tidur selepas gegaran dirasai.
“Ketika gempa berlaku, tingkap rumah saya bergegar sangat kuat, menyebabkan kami sekeluarga segera keluar dari rumah.
“Ada yang lari bertempiaran kerana panik dan bimbang jika tsunami berlaku,” kata Erick Catur Nugroho, 36, kepada AFP.










