PARIS: Beberapa negara sekutu Amerika Syarikat (AS) bimbang terhadap pendekatan yang dibawa oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dalam usaha menamatkan perang Ukraine.
Menurut beberapa sumber diplomatik, negara-negara Eropah kini bersiap sedia berdepan dengan hasil rundingan peringkat tinggi seterusnya antara AS dan Russia.
Rangka kerja yang dikemukakan pentadbiran Trump itu, dibentangkan di Paris minggu lalu, mencadangkan ‘pengorbanan Kyiv’ termasuk pengiktirafan rasmi AS terhadap Crimea sebagai wilayah Russia dan penyerahan sebahagian besar wilayah Ukraine kepada Moscow.
Ketika ditanya mengenai bentuk konsesi yang ditawarkan Russia kelmarin, Trump menjawab menghentikan perang sudah memadai, sambil menegaskan keputusan untuk tidak mengambil keseluruhan negara adalah ‘konsesi yang cukup besar’.
Beberapa diplomat sekutu bingung dengan cadangan pentadbiran Trump, kerana percaya pendekatan seperti itu seoerti menghantar mesej kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dan pemimpin dunia lain, termasuk Presiden Xi Jinping, bahawa penaklukan haram boleh diberi ganjaran.
“Ini berkaitan prinsip asas undang-undang antarabangsa.
“Ia menyentuh kewujudan kami sendiri dan kelemahan mana-mana perlindungan yang ada bagi kemerdekaan negara kami atau negara lain,” kata seorang diplomat Eropah Timur kepada CNN.
KEGUSARAN SEKUTU ASIA
Cadangan supaya AS secara tidak langsung mengiktiraf Crimea sebahagian Russia menandakan satu perubahan drastik dalam dasar luar negara itu, yang selama ini konsisten menegaskan ia wilayah milik Ukraine walaupun berada di bawah pendudukan Moscow.
Pegawai Eropah menegaskan tidak akan mengikut jejak Washington, sekali gus membiarkan AS bersendirian dalam pendirian tersebut.
Sekutu Asia juga semakin gusar terhadap sebarang perjanjian penamatan perang yang seolah-olah memberi ganjaran kepada Russia selepas konflik yang meragut banyak nyawa itu.
Dalam perbincangan tertutup bersama rakan kongsi AS, para diplomat Asia secara jelas menyatakan kebimbangan terhadap implikasi global sekiranya penyelesaian dicapai dengan melanggar sempadan Ukraine.
Semua mata turut tertumpu kepada pertemuan antara utusan khas AS, Steve Witkoff dan Putin pada Jumaat, susulan daripada rundingan bersama pegawai Eropah, Ukraine dan AS di London, Rabu lalu.
Perkara lain yang juga menjadi kebimbangan negara Eropah adalah kemungkinan Putin membuat pelbagai janji tambahan demi menarik sokongan Washington, sedangkan pemimpin negara sekutu berulang kali memberi amaran bahawa Presiden Russia itu tidak boleh dipercayai.
TRUMP BERAT SEBELAH
Kelmarin, Trump menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Putin selepas serangan peluru berpandu Russia mengorbankan nyawa di Kyiv.
“Vladimir, berhenti! 5,000 askar mati setiap minggu. Mari kita selesaikan dengan perjanjian damai,” tulis Trump dalam hantaran di TruthSocial.
Beberapa jam kemudian, Presiden AS itu mendakwa beliau percaya kedua-dua pihak berseteru, Russia dan Ukraine, mahukan perdamaian.
Namun, Trump dilihat sangat berat sebelah kerana beberapa kali menyerang pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky dengan bahasa yang lebih keras berbanding nada kritikannya terhadap Putin.
Walaupun rangka penyelesaian yang dibincang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu utama, perunding tetap menekankan kemajuan dalam perbincangan diplomatik yang berlangsung minggu ini, termasuk langkah diambil pihak Ukraine.
“Kami mencapai satu tahap di mana Ukraine bersedia untuk bincang mengenai isu wilayah,” kata seorang pegawai Eropah selepas mesyuarat di London, Rabu lalu.
Perbincangan itu melibatkan pegawai kanan dari Ukraine, Jerman, United Kingdom, Perancis dan utusan AS ke Ukraine, Keith Kellogg.
Jerman, Perancis dan Britain dalam kenyataan bersama menyatakan kemajuan ketara dicapai dalam menetapkan kesepakatan bersama mengenai langkah seterusnya.










