Penduduk Indonesia trauma dengan kerajaan kuku besi

Penduduk Indonesia trauma dengan kerajaan kuku besi

PENUNJUK perasaan memegang plakad semasa demonstrasi membantah pindaan undang-undang berkaitan angkatan tentera di Surabaya,Indonesia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pengaruh tentera yang semakin besar dalam kerajaan, ancaman terhadap wartawan dan ekonomi yang merosot sejak enam bulan pertama pemerintahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mencetus kebimbangan rakyat negara ini bakal kembali ke era pemerintahan autoritarian.

Bulan lalu, Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang yang membenarkan anggota tentera yang masih aktif berkhidmat di 14 institusi kerajaan, meningkat daripada hanya 10 sebelum ini.

Ia termasuk pejabat Peguam Negara, tindakan yang menurut kumpulan hak asasi boleh melemahkan mekanisme undang-undang dalam mengawal salah guna kuasa oleh tentera.

Tentera kawal kerajaan

Keputusan itu mencetuskan kerisauan bahawa demokrasi ketiga terbesar di dunia itu berisiko mengulangi era pemerintahan diktator Suharto, yang memerintah Indonesia secara kuku besi selama lebih tiga dekad.

“Kerajaan seolah-olah tidak menyedari bahawa rakyat Indonesia mengalami trauma kolektif terhadap pemerintahan autoritarian Suharto,” kata Timbalan Pengarah Kumpulan Hak Asasi Imparsial, Hussein Ahmad.

Sebelum Suharto digulingkan oleh gerakan pelajar pada 1998, Prabowo merupakan komander pasukan elit yang ditugaskan untuk menyuraikan rusuhan.

Beliau masih berdepan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk dakwaan mengarahkan penculikan aktivis pada penghujung era Suharto yang dinafikannya dan tidak pernah didakwa di mahkamah.

Kini, beliau telah berjaya membina semula imejnya, dan dipilih sebagai Presiden tahun lalu dengan harapan meneruskan dasar-dasar popular bekas Presiden, Joko Widodo.

Namun, sejak memegang kuasa, latar belakang Prabowo sebagai jeneral kembali menjadi perhatian awam.

Langkah pentadbiran Prabowo untuk meluaskan penglibatan tentera dalam kerajaan turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan elit politik Indonesia.

Selepas Prabowo melantik akil kerajaan untuk memulakan perbicangan mengenai undang-undang itu di Parlimen pada Februari, bekas Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono pantas menegaskan, menjadi ‘tabu’ atau pantang besar di negara itu untuk anggota tentera memasuki politik .

“Ia adalah satu doktrin yang sudah kami tetapkan dahulu. Jika mahu berpolitik, sila letak jawatan,” katanya dalam satu mesyuarat.

Bagaimanapun, jurucakap Presiden, Hasan Nasbi, menafikan bahawa undang-undang baharu itu akan membawa Indonesia kembali ke era Suharto.

“Undang-undang ini sebenarnya menghadkan peranan tentera kepada 14 sektor yang benar-benar memerlukan kemahiran dan kepakaran berdasarkan latihan ketenteraan,” katanya kepada AFP, sambil menyifatkan kritikan itu sebagai ‘tidak tepat’.

Wartawan diancam

Selepas majlis angkat sumpah Oktober lalu, Prabowo mempamerkan barisan kabinetnya dalam pakaian seragam tentera semasa satu program santai.

Pada November, Menteri Pertahanannya, Sjafrie Sjamsoeddin yang juga bekas jeneral dengan rekod kontroversi era Suharto, mengumumkan pembentukan 100 batalion untuk melaksanakan agenda kerajaan.

Prabowo turut menerima kritikan kerana memotong bajet kerajaan ketika ekonomi Indonesia terus lemah, ditambah dengan kejatuhan nilai rupiah serta pasaran kewangan yang tidak menentu akibat tarif dari Amerika Syarikat (AS).

Lebih membimbangkan, satu peraturan baharu yang dikeluarkan bulan lalu membenarkan polis memantau wartawan dan penyelidik asing.

Peraturan itu memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada mereka yang ingin membuat liputan di lokasi tertentu meskipun jurucakap kemudian menjelaskan surat itu tidak wajib.

Namun, menurut anggota Human Rights Watch, Andreas Harsono, peraturan itu boleh menakutkan dan mengancam wartawan yang melaporkan tentang isu-isu sensitif.

Selepas kejatuhan Suharto, media di Indonesia berkembang pesat, tetapi sejak kebelakangan ini, wartawan tempatan mula meluahkan kebimbangan terhadap suasana kerja yang semakin menekan.

Rakyat muak

Bulan lalu, ribuan rakyat Indonesia turun ke jalanan membantah undang-undang tentera baharu itu, sambil membawa sepanduk bertulis ‘Tentera, kembali ke berek!’.

Namun, Prabowo menyifatkan kemarahan itu sebagai ‘mengarut’, walaupun beliau menegaskan amat menghormati hak rakyat berdemonstrasi.

Anggota Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Korban Keganasan (KontraS), Andrie Yunus berkata, protes itu hanyalah satu permulaan terhadap rasa tidak puas hati rakyat.

Jelasnya, pengaruh tentera dalam politik dianggap sebagai memulakan sesuatu tindakan yang kelihatan kecil atau tidak berbahaya, tetapi sebenarnya membawa kepada masalah besar yang sukar dikawal.

Ia juga berisiko menjerumuskan Indonesia ke arah pemerintahan tentera atau autoritarianisme, penyalahgunaan kuasa, penindasan terhadap suara rakyat, walaupun pada zahirnya nampak seperti langkah ‘biasa’ dalam pentadbiran.

“Orang awam sudah muak dengan kemasukan unsur ketenteraan dalam hal ehwal awam. Jalan menuju pemerintahan tentera kini terbuka. Kami menganggap penggubalan undang-undang ini sebagai cubaan membuka ‘kotak Pandora’,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN