Israel tawar gencatan senjata 45 hari, Hamas tolak letak senjata

Israel tawar gencatan senjata 45 hari, Hamas tolak letak senjata

PENDUDUK Palestin melihat kesan kemusnahan di sebuah sekolah di Gaza City, Semenanjung Gaza akibat bedilan udara tentera Israel pada 4 April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel didakwa menawarkan gencatan senjata selama 45 hari sekiranya separuh daripada baki tebusan yang masih ditahan di Gaza dibebaskan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan wilayah itu menghadapi krisis kemanusiaan terburuk sejak perang bermula.

Menurut pegawai Hamas, Israel turut menuntut agar kumpulan pejuang Palestin dilucutkan senjata sebagai syarat penamatan perang di Gaza,  tuntutan yang disifatkan sebagai ‘garisan merah’.

Menurutnya, para perantara Mesir sudah menyampaikan cadangan Israel yang melibatkan pembebasan separuh daripada tebusan dalam minggu pertama perjanjian, lanjutan gencatan senjata sekurang-kurangnya 45 hari dan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Kumpulan pejuang Palestin dilaporkan menawan 251 tebusan dalam serangan 7 Oktober 2023 dan daripada jumlah itu, 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.

Pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu berkata, kumpulan itu bersedia membebaskan semua tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan serta jaminan bahawa Israel akan menamatkan peperangan.

Jelasnya, pimpinan Hamas kini sedang mengkaji cadangan gencatan senjata tersebut namun menegaskan, semua kumpulan paksi penentangan tidak akan melucutkan senjata mereka dan pendirian itu tidak boleh dirundingkan.

“Isunya bukan jumlah tebusan tetapi penjajah sedang memungkiri komitmen, menghalang pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan meneruskan perang.

“Senjata lawan bukan sesuatu yang boleh dirunding,” kata Taher.

Laman berita Israel, Ynet, pada Isnin melaporkan di bawah cadangan baharu gencatan senjata yang dikemukakan kepada Hamas, kumpulan itu akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup sebagai pertukaran kepada jaminan dari Amerika Syarikat (AS) bahawa rejim itu akan memasuki rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata.

KRISIS KEMANUSIAAN MEMUNCAK

Sebelum ini, PBB memberi amaran krisis kemanusiaan di Gaza kini berada di tahap paling kritikal, dengan bantuan tidak memasuki wilayah itu selama beberapa minggu dan keadaan semakin memburuk dengan pantas.

Israel, yang terus melancarkan operasi di Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, menyambung semula serangan pada bulan Mac selepas gencatan senjata dua bulan runtuh akibat perbezaan pandangan mengenai fasa seterusnya.

Ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, malah Israel telah menyekat bantuan kemanusiaan sejak 2 Mac, sebelum gencatan senjata musnah.

Menurut PBB, bekalan ubat-ubatan, bahan api, air dan keperluan asas lain kini sangat terhad.

“Keadaan kemanusiaan kini mungkin yang paling buruk dalam tempoh 18 bulan sejak permusuhan tercetus. Petugas bantuan terpaksa menyekat dan mengurangkan penghantaran untuk memaksimumkan baki bekalan yang ada,” kata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Di Hospital Nasser di bandar Khan Younis di selatan Gaza, seorang doktor, Dr. Ahmed al-Farah berkata, pasukannya bekerja tanpa henti walaupun menghadapi kekurangan dalam semua aspek.

Menurut Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), lebih 70 peratus sekolah di Semenanjung Gaza kini musnah teruk akibat serangan Israel yang menyasarkan kemudahan itu sejak Oktober 2023.

“Sekitar 88 peratus sekolah di Gaza memerlukan pembinaan semula atau pembaikan besar-besaran. Ini termasuk 162 buah sekolah UNRWA yang dahulunya menampung ratusan ribu pelajar lelaki dan perempuan,” kata agensi tersebut dalam satu kenyataan.

UNRWA turut kesal dengan tindakan rejim itu yang menyasarkan orang awam dan menyebabkan kanak-kanak Palestin hilang tempat tinggal, mengalami trauma dan terhalang daripada mendapat pendidikan.

KEPERLUAN MENDESAK HENTI PERANG

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga menyeru gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.

Dalam panggilan telefon, kedua-dua pemimpin menegaskan ‘keperluan mendesak’ gencatan senjata, mempercepat penghantaran bantuan kemanusiaan dan menolak pemindahan rakyat Palestin dari tanah mereka.

Macron menerusi platform X menegaskan, Perancis kekal komited sepenuhnya dalam usaha membebaskan tebusan dan menghentikan peperangan. 

Beliau turut menyokong reformasi dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai sebahagian daripada usaha membenarkan badan itu mentadbir Gaza pasca-perang tanpa Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN