NEW DELHI: Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi kembali berkuasa di ibu negara, Delhi buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun, memberikan suntikan semangat baharu kepada pemimpin nasionalis Hindu itu selepas mengalami prestasi merundum dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya India, BJP memenangi 48 daripada 70 kerusi di daerah ibu kota Delhi, jauh mengatasi parti pembangkang, Aam Aadmi Party (AAP) yang hanya meraih 22 kerusi.
AAP, yang ditubuhkan hasil daripada gerakan anti-rasuah pada 2012, diketuai oleh Arvind Kejriwal, seorang pengkritik tegar Modi pertama kali mencipta kejayaan politik dan memerintah wilayah tersebut termasuk Parlimen India dan pejabat kerajaan persekutuan di New Delhi selama dua penggal bermula 2015.
Namun, Kejriwal, 55, yang merupakan aktivis anti-rasuah sebelum menceburi politik, menghadapi cabaran besar selepas ditahan atas dakwaan rasuah beberapa minggu sebelum pilihan raya umum tahun lalu.
Beliau mendakwa penahanan tersebut bermotifkan dendam politik oleh kerajaan Modi, namun dakwaan itu dinafikan oleh BJP.
Dalam satu mesej video di X, Kejriwal berkata, AAP akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif selepas berusaha memperbaiki infrastruktur, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan di ibu negara sepanjang sepuluh tahun lalu.
AAP sebelum ini meraih kemenangan besar dalam dua pilihan raya terdahulu, berikutan dasar populis seperti pemberian air dan elektrik percuma kepada golongan miskin yang menjadi teras penyokong mereka.
Namun, BJP menggunakan pendekatan lebih menyeluruh dengan menawarkan pelbagai insentif untuk menarik sokongan pengundi, termasuk bayaran bulanan sebanyak 2,500 rupee (RM142) kepada semua wanita miskin, bayaran sekali gus sebanyak 21,000 rupee (RM1,195) untuk setiap wanita hamil, subsidi gas memasak, pencen bulanan untuk warga emas, serta bantuan 15,000 rupee (RM854) kepada golongan belia bagi persediaan peperiksaan kompetitif.
Modi kehilangan majoriti dalam Parlimen India tahun lalu namun kembali sebagai Perdana Menteri untuk penggal ketiga dengan sokongan parti-parti serantau.
BJP turut memenangi tiga daripada empat pilihan raya negeri yang diadakan selepas itu. -AGENSI










