Syria raikan tahun baharu selepas 50 tahun pemerintahan Bashar

Syria rai tahun baharu selepas 50 tahun pemerintahan Assad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Dataran Umayyad di ibu negara Syria bergema dengan laungan rakyat yang mengibarkan bendera revolusi, menandakan sambutan tahun baharu yang penuh harapan selepas bebas daripada perang saudara.

Dari puncak Gunung Qasioun yang menghadap Damsyik, bunyi tembakan kedengaran ketika ratusan orang menyaksikan pertunjukan bunga api, lapor wartawan AFP.

Sambutan ini merupakan yang pertama dalam lebih 50 tahun tanpa Bashar al-Assad atau keluarganya berkuasa, selepas kejatuhan pemerintahannya pada Disember lalu.

“Kami tidak menyangka keajaiban seperti ini boleh berlaku. Hari ini, rakyat Syria menemui kembali senyuman mereka,” kata Layane El Hijazi, 22 tahun yang merupakan pelajar kejuruteraan pertanian.

Katanya lagi, selepas bertahun-tahun menahan diri, rakyat akhirnya bebas meluahkan perasaan yang terpendam selama ini.

Namun, di sebalik keriangan, tentera masih mengawal jalan-jalan di Damsyik, kurang sebulan selepas kejatuhan dramatik rejim Bashar.

Bendera revolusi berwarna hijau, putih, dan hitam dengan tiga bintang merah kini berkibar di seluruh ibu kota, satu pemandangan yang mustahil dilihat hanya sebulan lalu.

Keberangkatan Bashar menamatkan lebih setengah abad pemerintahan kuku besi keluarganya di Syria, yang terkenal dengan penindasan terhadap suara pembangkang dan kebebasan awam.

“Apa pun yang berlaku, ia pasti lebih baik daripada sebelumnya,” kata Imane Zeidane, 46, seorang kartunis yang datang ke Dataran Umayyad bersama suami dan anak perempuannya.

Beliau menyatakan keyakinannya terhadap kerajaan baharu di bawah pemimpin de facto, Ahmed al-Sharaa.

Lebih setengah juta nyawa terkorban dalam perang saudara selama 13 tahun itu, manakala puluhan ribu rakyat masih hilang ketika pemerintahan Bashar yang terkenal dengan rekod kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN