GAZA: Tentera Israel melancarkan 34 serangan udara dalam tempoh 24 jam terakhir, menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata di seluruh Gaza, mengorbankan 71 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan lain.
Pejabat Media Gaza dalam kenyataan berkata, tentera menghalang pasukan perubatan dan pertahanan awam daripada mengakses lokasi serangan terutama di utara Gaza.
“Serangan udara Israel menyasarkan orang awam dan infrastruktur dalam jenayah mengerikan yang menambah rekod gelap penjajahan,” menurut kenyataan itu.
Pejabat itu menegaskan, peningkatan berlaku pada hari ke-454 genosid Israel terhadap rakyat Palestin, dengan menyasarkan keperluan asas, infrastruktur penting yang menyokong daya tahan penduduk Gaza.
Ia menyifatkan Israel bertanggungjawab terhadap ‘jenayah kejam’ dan menggesa masyarakat antarabangsa serta institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memikul tanggungjawab undang-undang dan moral bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai.
Pejabat itu menuntut perlindungan antarabangsa segera terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang sedang menghadapi jenayah dan pelanggaran paling kejam.
Walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera, tentera Israel terus melancarkan perang genosid di Gaza, meragut hampir 45,600 nyawa sejak 7 Oktober 2023.- AGENSI











