KABUL: Pemimpin tertinggi Taliban mengeluarkan arahan terbaharu yang mengharamkan pembinaan tingkap di bangunan kediaman yang membolehkan ruang digunakan oleh wanita Afghanistan dapat dilihat, manakala tingkap sedia ada diarahkan ditutup.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid dalam kenyataannya pada Sabtu lalu.
Katanya, pembinaan bangunan baharu tidak dibenarkan memiliki tingkap yang membolehkan pandangan ke arah halaman rumah, dapur, telaga jiran dan kawasan lain yang biasanya digunakan oleh wanita.
Menurut perintah tersebut yang dimuat naik di platform media sosial X, tindakan melihat wanita melakukan kerja di dapur, halaman rumah atau mengangkat air dari telaga boleh membawa kepada perbuatan tidak senonoh.
Justeru, pihak berkuasa tempatan serta jabatan berkaitan diarahkan memantau tapak pembinaan bagi memastikan pandangan ke dalam rumah jiran tidak dapat dilakukan.
Bagi tingkap yang telah wujud, pemiliknya digalakkan membina dinding atau menghalang pandangan tersebut bagi mengelak gangguan terhadap jiran, jelas dekri itu.
Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, hak wanita semakin disekat, menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pentadbiran tersebut sebagai ‘apartheid jantina.’
Taliban telah mengharamkan pendidikan peringkat menengah dan tinggi untuk kanak-kanak perempuan, menyekat wanita daripada bekerja serta melarang akses mereka ke taman dan tempat awam.
Terbaharu, undang-undang melarang wanita menyanyi atau mendeklamasikan puisi di khalayak ramai malah, mereka juga digalakkan supaya ‘menutup suara’ dan badan ketika berada di luar rumah.
Sebilangan stesen radio dan televisyen tempatan pula dilaporkan sudah menghentikan penyiaran suara wanita. -AGENSI










