Pesakit, doktor Hospital Kamal Adwan kena seksa

Pesakit, doktor Hospital Kamal Adwan ‘diseksa’ tentera Israel

RAKYAT Palestin yang cedera menerima rawatan perubatan di hospital Al-Shifa di Gaza City, selepas dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selepas membakar dan memusnah kemudahan kesihatan terakhir di utara Gaza, tentera Israel dilaporkan turut mengarahkan pesakit dan petugas perubatan ‘berbogel’ ketika melakukan serbuan besar-besaran di hospital berkenaan Jumaat lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Hospital Kamal Adwan yang sebelum ini menjadi satu-satunya pusat perubatan berfungsi di daerah itu kini musnah sepenuhnya dan tidak lagi beroperasi.

DIPUKUL TENTERA REJIM

Baki pesakit bersama sejumlah besar yang kritikal dilaporkan sudah dipindahkan ke Hospital Indonesia di Beit Lahiya.

Dianggarkan lebih 50 orang, termasuk kakitangan perubatan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekitar kawasan hospital berkenaan dan penutupannya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di utara Gaza.

Keberadaan Pengarah hospital itu, Dr. Hussam Abu Safiya dan beberapa lagi kakitangannya yang ditahan ketika serbuan itu masih tidak didedahkan.

Beberapa kakitangan yang dibebaskan tentera Israel kelmarin mendakwa beliau dipukul oleh tentera rejim.

“Kami tidak tahu nasib Dr. Hussam. Beliau sebenarnya diancam oleh tentera rejim sebaik tiba di hospital,” kata jururawat dari Hospital Kamal Adwan, Rawiya Al Batsh kepada CNN.

Tentera Israel mengakui menahan Hussam kerana disyaki sebagai pejuang Hamas tanpa memberikan sebarang bukti.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyerbu kawasan hospital turut menahan sekurang-kurangnya 240 warga Palestin termasuk petugas perubatan, mendakwa mereka terbabit dengan Hamas dan kemudahan itu digunakan sebagai kubu kuat kumpulan pejuang.

Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Dr. Yousef Abu-Al Rish, memberitahu BBC, kira-kira 100 kakitangan perubatan masih disoal siasat oleh IDF dan terdedah kepada penyeksaan psikologi.

Beberapa jururawat berkata, kakitangan dan pesakit diarah meninggalkan hospital dan berkumpul di luar untuk pemeriksaan tetapi dipukul.

“Sebaik berada di luar, kakitangan dan pesakit dipisahkan mengikut jantina dan kedua-dua lelaki dan wanita diberitahu untuk menanggalkan pakaian mereka. Mereka yang enggan menanggalkan pakaian dipukul.

“Tentera Israel menyuruh kami duduk. Selepas mengumpulkan semua orang, mereka juga memaksa kami menanggalkan seluar dalam kami dalam kesejukan. 

“Tentera rejim kemudian mula memukul orang di kepala dengan hos. Tentera mengheret tiga orang pada satu-satu masa, termasuk seorang yang cedera dan memukul kepala mereka. Mereka tidak menyelamatkan sesiapa, semua dipukul termasuk yang cedera, orang tua dan kanak-kanak,” kata seorang penduduk, Abdulrahman Rayan.

Seorang lagi wanita di Hospital Al Shifa berkata, dia tiba di hospital Kamal Adwan untuk rawatan dua hari lalu selepas rumahnya dibedil dalam serangan Israel dan anaknya terbunuh.

Semasa serbuan itu, Fatmeh Al Najjar turut memberitahu, dia bersama ratusan lelaki dan wanita disoal siasat tentera rejim sebelum mereka dibawa menaiki kenderaan dan ditinggalkan di bulatan Abu Sharekh. 

“Dari sana, mereka menyuruh kami berjalan kaki ke selatan,” katanya.

BAKAR HOSPITAL

Beberapa kakitangan juga menyaksikan kebakaran besar di Hospital Kamal Adwan.

Rawiya memberitahu, kebakaran berlaku selepas serangan Israel ke atas bangunan itu, dengan kakitangan terpaksa menggunakan air dari mesin dialisis buah pinggang untuk memadamkan api.

“Malangnya, air ini bercampur dengan klorin dan bahan lain, mengakibatkan luka melecur pada tangan dan muka mereka,” katanya sambil menambah seorang pesakit maut dalam kebakaran itu.

Mesej audio daripada kakitangan di Kamal Adwan memaklumkan, jabatan pembedahan, makmal, penyelenggaraan dan unit kecemasan hangus sepenuhnya.

Hamas, dalam satu kenyataan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua institusi antarabangsa yang berkaitan untuk segera campur tangan bagi menghentikan kekejaman rejim itu.

“Kami menuntut penghantaran pemerhati antarabangsa ke kemudahan ini untuk menunjukkan kebenaran apa yang berlaku dan menyangkal pembohongan serta dakwaan tentera pendudukan mengenai kegiatan mereka untuk tujuan ketenteraan,” kata kenyataan itu.

Tentera Israel melancarkan serangan udara dan darat baharu yang lebih dahsyat di beberapa bahagian utara Gaza sejak awal Oktober lalu, mendakwa hanya menyasarkan kehadiran semula Hamas di sana. 

Serangan itu sebaliknya memusnahkan jalan-jalan dan merubahnya menjadi ‘permaidani serpihan’, membunuh seluruh keluarga selain menyekat bekalan makanan, air dan perubatan yang sudah sangat terhad di lokasi berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN