TEBING BARAT: Tentera Israel mengenakan peringtah berkurung lewat malam Khamis terhadap bandar Palestin, Deir Istiya, di Tebing Barat yang diduduki.
Aktivis antipenempatan, Bilal Mansour memberitahu Anadolu, pasukan Israel menyerbu bandar tersebut, menutup pintu masuk dan mengumumkan perintah berkurung melalui pembesar suara.
Beliau berkata, tentera menyekat laluan utama ke bandar itu, membuat rondaan di jalan raya dan mengarahkan peniaga untuk menutup kedai mereka, termasuk mengehadkan pergerakan penduduk.
Tentera juga memeriksa kenderaan dan pejalan kaki, mendakwa batu dilemparkan ke arah kenderaan peneroka berhampiran bandar itu.
Perkampungan Palestin di Tebing Barat sering mengalami serbuan tentera Israel, yang kerap melibatkan pemeriksaan rumah.
Dalam sesetengah kes, rumah ditukar buat sementara waktu menjadi pos tentera selepas penduduk dipaksa meninggalkan kediaman mereka.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tentera Israel secara berkala melancarkan serbuan di Tebing Barat. yang semakin meningkat selepas bermulanya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023.
Penduduk Palestin juga diserang secara ganas oleh peneroka haram Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 822 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 6,500 cedera akibat tembakan tentera Israel di wilayah yang diduduki.
Peningkatan itu berikutan pendapat penting Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai, yang mengisytiharkan pendudukan Israel selama berdekad di tanah Palestin sebagai tidak sah dan menuntut pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur.










