Musim sejuk burukkan pandemik Covid-19
WASHINGTON: Seperti yang dijangka, Amerika Syarikat (AS) kini bergelut dengan lonjakan baharu Covid-19 yang disifatkan lebih parah berbanding gelombang sebelum ini.
Institut Matrik Kesihatan dan Penilaian di Universiti Washington meramalkan lebih 135,000 orang di seluruh AS bakal ‘terkorban’ akibat Covid-19 dalam tempoh tiga bulan akan datang.
CNN melaporkan, jumlah jangkitan Covid-19 paling rendah yang pernah direkodkan di negara ini adalah sekitar 30,000 hingga 35,000 kes pada awal bulan lalu.
Namun, jumlah itu semakin meningkat sehingga mencecah 50,000 kes jangkitan baharu setiap hari dan dijangka terus bertambah.
Pakar perubatan dari Kolej Perubatan Baylor, Dr. Peter Hotez memberitahu, situasi itu boleh bertambah buruk apabila musim luruh dan sejuk tiba.
“Musim sejuk yang bermula dari November ini hingga Februari depan dijangka lebih mencabar daripada sebelum ini, sekali gus mendedahkan penduduk dengan fasa terburuk dalam pandemik Covid-19.
“Antara tempat yang paling teruk diancam wabak Covid-19 ketika ini adalah di Wisconsin, Montana serta Dakota dan akhirnya seluruh negara juga bakal terlibat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Selain itu, lebih 30 negeri di seluruh AS melaporkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak pada minggu ini berbanding minggu lepas.

Hospital makin padat
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 10 hospital merekodkan jumlah kemasukan pesakit akibat Covid-19 tertinggi sejak minggu lalu.
Pakar perubatan kecemasan, Dr. Leana Wen memaklumkan kebanyakan hospital akan menjadi padat dengan pesakit dan bukan semuanya melibatkan mereka yang dijangkiti Covid-19.
“Kita tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pesakit Covid-19 sahaja kerana mungkin ada pesakit dengan penyakit kronik lain yang memerlukan rawatan segera.
“Kapasiti hospital yang terlalu padat boleh menyebabkan pelbagai kesukaran yang tidak boleh dijangka,” ujarnya.
Selain itu, masih ada kumpulan petugas perubatan di negara ini yang tidak mempunyai peralatan perlindungan mencukupi termasuk bekalan kit ujian saringan Covid-19.
Sebanyak 35,072 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital di seluruh negara sehingga kelmarin.
Peningkatan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak
Menurut Akademi Pediatrik dan Persatuan Hospital Kanak-Kanak AS, terdapat sebanyak 13 peratus melibatkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
Peratusan itu bersamaan dengan lebih 77,000 kes jangkitan baharu sejak 24 September lalu hingga 8 Oktober ini.
Jumlah itu merangkumi 49 negeri, New York, Columbia, Puerto Rico dan Guam.
Percubaan vaksin dihentikan
Syarikat Johnson & Johnson menghentikan fasa percubaan klinikal selepas vaksin Covid-19 yang dihasilkan menyebabkan seorang daripada responden jatuh sakit.
Dekan Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Brown, Dr.Ashish Jha memaklumkan situasi itu sudah dijangka dan perlu dilihat sebagai satu peringatan.
“Adalah mustahil untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sebelum 3 November ini, semata-mata ingin mengikut ‘telunjuk politik negara’.
“Percubaan klinikal yang dilakukan oleh Johnson & Johnson adalah terbesar setakat ini dengan melibatkan 60,000 orang, maka mereka sepatutnya dapat menjangkakan keadaan yang bakal berlaku,” jelasnya.
Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat AstraZeneca dihentikan pada bulan lalu akibat komplikasi neurologi melibatkan responden.
Namun, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan AS, Anthony Fauci menjelaskan proses penghasilan vaksin Covid-19 di negara ini berjalan lancar.
“Menjelang November atau Disember ini, kita akan dapat tahu jika vaksin yang dihasilkan adalah selamat dan berkesan untuk digunakan,” ujarnya.










