Tanjung Batu kekal kubu kuat BN - Utusan Malaysia

Tanjung Batu kekal kubu kuat BN

Samasuddin Yusof (tengah) bersama penduduk Tanjung Batu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Barisan Nasional (BN) kekal sebagai pilihan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calon BN DUN Tanjung Batu, Samasuddin Yusop berkata, program yang dijalankan setiap malam menunjukkan perubahan ketara dalam mood pengundi, khususnya apabila kehadiran semakin bertambah berbanding sebelum tempoh kempen bermula.

“Alhamdulillah, sokongan masyarakat di sini terus meningkat. Jika dahulu kehadiran kurang, malam ini jauh lebih ramai yang turun. Keyakinan mereka kepada BN jelas terpancar,” katanya selepas bertemu penduduk Kampung Pasir Putih semalam.

Menurut Samasuddin, Tanjung Batu sememangnya mempunyai rekod kukuh menyebelahi BN sejak beberapa siri pilihan raya yang lalu.

Beliau turut menyatakan bahawa tanda-tanda sokongan bukan hanya jelas di Tanjung Batu, tetapi turut dirasai di DUN lain sekitar Tawau seperti Kukusan, Sebatik, Balung dan Apas.

“Sokongan biru semakin berkembang. Mood rakyat, khususnya pengundi muda, sangat positif,” ujarnya.

Walaupun keyakinan terhadap kemenangan semakin kukuh, Samasuddin menegaskan bahawa fokus BN tetap kepada penyelesaian masalah rakyat, terutama isu banjir, perparitan dan infrastruktur asas.

“Penduduk di sini paling banyak merungut tentang perparitan. Sungai semakin cetek dan tidak mampu tampung air ketika hujan lebat, menyebabkan banjir berulang,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan usaha jangka pendek dan jangka panjang untuk golongan belia termasuk pendaftaran kemahiran dan peluang pekerjaan dalam projek-projek setempat.

Mengulas mengenai pengumuman kerajaan berhubung pembinaan kampus tetap Politeknik Tawau di Kalabakan, Samasuddin berkata ia bakal membuka peluang pendidikan dan teknikal yang lebih luas kepada rakyat, terutama penduduk Tanjung Batu yang berada paling hampir dengan tapak tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN