Ikan Empuk Crispy - Utusan Malaysia

Ikan Empuk Crispy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tuan-tuan dan puan-puan, seperti yang telah saya nyatakan tadi bahawa perusahaan kami ini adalah perusahaan inovasi. Produk yang kami hasilkan ini adalah produk yang belum ada di pasaran. Produk yang akan memasuki pasaran ini adalah produk baru. Sudah semestinyalah tugas utama kami adalah memperkenalkan produk dan sekali gus mema­sarkannya di pasaran tempatan terlebih dahulu. Hari ini saya menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk merasakan keenakan produk ini.” Hashim melanjutkan ucapannya selaku pengerusi majlis.
“Lagi sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Encik Yahaya Wan Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan kita ini, Tok Penghulu, Encik Hilman, pegawai dari LKIM, Encik Nizar dari Fama Kawasan, Puan Nora, selaku pegawai yang bertanggungjawab dalam memajukan para nelayan dalam bidang keusahawanan. Dan, tidak lupa kepada Encik Abdul Rahman, Ketua Kampung Pasir ini yang gigih memberi sokongan kepada kami, dan yang paling penting sumbangannya menaja makanan, khemah dan sistem pembesar suara untuk majlis hari ini. Hanya Allah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepada beliau. Saya dengan ini mempersilakan tuan dan puan menikmati hidangan pagi ini dan sekali gus menikmati keenakan ikan empuk crispy yang kami sediakan. Dipersilakan.”
Hashim menghampiri YB dan jemputan khas lain dan mengiringi mereka ke tempat makan yang telah dikhaskan. YB seperti ingin mengatakan sesuatu, tetapi Hashim berkata dengan pantas – “Mari kita cuba ikan empuk kami ini.” sambil mempersilakan duduk di meja hidangan.
Para jemputan nampaknya macam tidak sabar-sabar untuk merasa ikan empuk tersebut.
“Ini boleh dimakan terus ke?” YB, seperti ragu-ragu. Beliau membelek-belek ikan tersebut.
“Ya.” Hashim pantas menjawab, “Semua kepala, tulang sirip dan ridip dah rapuh dan garing. Rempah ratus yang meliputi ikan jadikan ikan itu berperisa dan rangup. Itu sebab dipanggil empuk dan crispy.
“Amat sesuai untuk dijadikan sebagai dessert,” YB Yahya memberi komen.
Dua bulan lalu.
Hashim datang ke Kampung Pasir untuk menikmati suasana kampung nelayan yang dikelilingi sungai yang mengalir deras. Di kampung ini terdapat beberapa batang sungai yang mengalir ke laut yang tidak jauh dari situ.
Penduduk di sini bekerja sebagai nelayan. Nelayan pesisir laut yang menggunakan sampan dengan motor sangkut yang mempunyai kuasa kuda antara 15 ke 30 kuasa kuda.
Semasa air pasang mereka menangkul ketam dengan menggunakan potongan ikan duri sebagai umpan. Bila air mati, laut tenang, mereka merawai ikan pari. Masa air mati, ketam tidak keluar dari lobangnya. Keadaan sebegini menarik perhatian Hashim untuk mendekati lagi para nelayan di kampung ini.
“Menjaring ke, memukat atau memancing tak buat ke?” Hashim mengajukan soalan kepada Pak Jamaludin yang sedang menggulung rokok daun.
“Itu buat penat saja. Tangkul, ketam harga mahal.” sambil dia menghidupkan pemetik api. Tanpa menyucuh api ke rokoknya dia menyambung – “Memang masa air mati ketam tak ada, tapi masa itu pula kita pasang rawai tangkap ikan pari.”
“Habis ikan belanak tak nak tangkap?” Tanya Hashim.
“Huishhh… ikan belanak, buang ikan dekat pukat pun berjam-jam. Buang masa. Lepas itu bukan ada harga.” Jawab Pak Jamaludin.
Hashim melongo.
Pagi itu selepas berbual dengan Pak Jamaludin, Hashim keluar ke jalan utama kampung itu. Di bawah pokok nangka kelihatan beberapa orang sedang duduk berbual. Hashim menghampiri.
Selepas memberi salam Hashim terus berkata, “Nama saya Hashim, saya dari Kuala Lumpur, saya nak bertanya, adakah di kawasan ini ada rumah kosong untuk saya sewa.”
“Tak ada lah, semua rumah di sini ada orang duduk.”
“Bukan saja orang duduk. Berasak-asak macam sardin pun ada.” Sampuk yang lain.
“Rumah yang tak siap ini adalah. Pintu pun tak ada.” Sampuk seorang suri rumah yang berumur dalam lingkungan 35 tahun.
“Puan ini nama apa?”
“Nama saya Hadiza.” Sambil menoleh ke arah seorang lelaki di sampingnya dia menyambung “Ini suami saya, namanya Zaidi.”
“Apa puan sudi membenarkan saya duduk di rumah ini?” tanya Hashim.
“Boleh saja, tapi saya tak sampai hati memberi tuan duduk di rumah yang tak siap lagi itu. Pintu pun tiada. Lantai simen kasar, berdebu,” ujar Hadiza. Dia dan suaminya mengiringi Hashim masuk ke dalam rumah tersebut.
“Encik tengoklah sendiri, memang tak sesuai untuk duduk.”
“Tak apa,” ujar Hashim. “Kalau puan benarkan, saya suka duduk di sini.”
“Biar betul?” soalnya.
“Betul.” Hashim berkata dengan yakin. “Berapa sewanya?” Tanya Hashim.
“Tak payah sewa. Duduk saja lah. Nanti saya bersihkan bilik itu.”
Hashim balik ke hotel penginapannya.
Petang itu Hadiza membersihkan bilik itu. Ketika Hashim sampai, bilik itu telah dibersihkan dan ada sekeping karpet terbentang di tepi dinding bilik itu. Hashim meletakkan beg pakaiannya dan membentangkan toto di atas karpet.
Malam itu selepas makan malam, Hashim, Hadiza dan suaminya, Zaidi duduk di atas tikar, sambil berbual-bual. Perbualannya lebih kepada memperkenalkan diri masing-masing.
Sampailah ke satu peringkat perbualan, Hadiza meluahkan kesedihannya tentang kesempitan hidup dialami yang berpunca daripada wabak Covid-19 yang melanda keluarganya. Dia kehilangan ayah dan adik yang sedang mengandung, sementara suami pula diberhentikan kerja akibat pandemik ini.
Entah bagaimana Hashim mendapat idea untuk memberikan semangat agar Hadiza dapat mengetepikan kesedihan dan fokus menghadapi masa depan.
Setelah beberapa ketika Hashim memberikan sedikit kata-kata nasihat dan semangat, Hashim berkata – “Saya mempunyai satu idea untuk kita mulakan satu produk untuk kita niagakan.”
“Bunyi macam besar?” celah Hadiza.
“Besar! Tapi dia bermula dengan kecil.”
Hadiza diam tapi menunggu dengan penuh minat.
“Kita keluarkan satu produk dari bahan murah. Tadi Pakcik Jamaludin ada beritahu di tempat ini ikan belanak ada banyak.”
“Kami sudah usahakan dulu, kami buat ikan masin belanak,” kata Hadiza.
“Ini bukan ikan masin. Ia satu produk baru. Kita buat snek ikan belanak, ikan belanak yang gebu dan rangup. Boleh dimakan begitu saja.”
“Hmm, tak pernah dengar, ikan belanak durinya tajam.”
“Esok kita cuba buat. Boleh dapatkan belanak tak? Dalam dua kilo?”
“Boleh.”Jawab Hadiza.
Esoknya Hashim pergi ke pekan membeli periuk tekanan dan dapur gas serta rempah ratus. Lalu bermulalah hari baru buat Hadiza, apabila hari itu mereka masak ikan belanak untuk menjadi ikan belanak yang empuk, setelah sejuk, ikan itu digoreng, maka semua sirip, sisik dan kepala ikan itu menjadi rangup.
“Apa nak kita namakan masakan ini?”tanya Hadiza.
“Ikan Empuk Crispy” Hashim berkata dengan yakin.
Hari ini pada 27 Mac, 2022, Kami bertiga melancarkan produk baru, ikan empuk crispy dengan jenama “HADIEZA”
Yang Berhormat En, Yahaya Wan Chik dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kerana berjaya menghasilkan produk berjenama HADIEZA, yang sekali gus merupakan produk yang baru dan tiada dalam pasaran.
Semoga produk HADIEZA ini berjaya membuka pasaran dan menjadikan produk Ikan Empuk Crispy sebagai makanan kegemaran rakyat Malaysia dan mungkin seluruh dunia.
Selamat maju jaya. Yang Berhormat mengakhiri uca­pannya dan sebelum bergerak ke tempat duduk, beliau menye­rahkan sekeping cek kepada Hadieza tanda soko­ngannya terhadap usaha tersebut. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya