“Bola tenis?”
Linda mengangguk. Dan tersenyum. Ternyata itu bukan yang Halim jangka apabila Linda kata dia mahu bermain brain teaser dalam temu janji mereka hari ini.
Halim menjangkakan satu lagi episod soal jawab panjang antara dia dengan Linda seperti minggu lalu. Hanya satu soalan yang Linda aju: Apa itu jantina? Dan mereka berbahas mesra tentang hal itu selama hampir sejam.
“Saja nak suruh awak perhati bola ini. Apa perkara pertama terlintas bila awak pandang bola ini?”
Halim bersandar, memeluk tubuh. Matanya memandang Linda, mulutnya tersenyum lalu berkata, Rafael Nadal.
“Kenapa bukan Federer? Atau Sharapova?” Linda menduga.
“Pertama, Nadal nampak lebih ‘street’. Saya tak tahu tentang gaya permainan – saya tak minat tenis – tapi wajah, tubuh dan rambut Nadal lebih jalanan berbanding Federer. Saya suka Federer, dia nampak naif tapi mungkin saya lebih minat lelaki yang nampak maskulin apabila bercakap tentang sukan. Macam Ronaldo atau Messi, saya lebih suka Ronaldo.
“Kedua, saya tahu siapa Sharapova tapi saya tak pernah perhati rapat perkembangannya jadi namanya tak terlintas,” jawab Halim.
Giliran Linda pula bersandar, memeluk tubuh. Suasana sunyi sebentar. Linda bersedia untuk menduga dan Halim bersedia untuk diduga.
Linda memecah sunyi, “Tapi awak pernah cakap pemain bola sepak kegemaran awak Dennis Bergkamp, bukan Ronaldo.”
Halim ketawa kecil. Dia tidak pernah ada masalah untuk menjelaskan kepada sesiapa sahaja mengapa dia minat Dennis Bergkamp lebih daripada pemain bola sepak lain.
“Linda, dengar sini. Saya akan melawan segala prinsip yang saya pegang untuk terus beritahu orang bahawa saya minat Bergkamp.
“Tiada logik. Ini sebahagian daripada perkara yang saya percaya, yang melanggar undang-undang saintifik.
“Dalam hal Bergkamp, saya tiada konsistensi. Saya minat Chelsea tapi pemain paling saya suka ialah Bergkamp. Saya suka Jerman tapi pemain paling saya suka ialah Bergkamp.
“Saya suka permainan yang keras, laju dan straight-forward tapi saya minat Bergkamp. Saya benci Ronaldinho sebab dia suka gentel bola tapi saya minat Bergkamp.”
Linda berhenti bersandar dan meminta penjelasan.
“Saya tidak pernah lihat pemain sebijak Bergkamp. Tindak-tanduknya tepat. Dia gentel bila perlu, dia hantar bila perlu, dia score bila perlu. Dia definisi perihal optimum.
“Menonton dia bermain bola macam melihat John Carpenter main Who Wants To Be A Millionaire!”
Linda tergelak. Dia tak sangka Halim akan guna analogi sebegitu.
Dia mahu terus bertanya tapi fikirnya, cukuplah. Dia tahu soalan-soalan logiknya akan ditepis begitu saja. Dalam beberapa hal, kita memang akan menolak logik untuk berpendirian.
“Kalau saya tanya 10 orang tentang bola tenis itu, mungkin ada empat orang akan beri jawapan sama macam awak. Tapi bila saya lanjutkan ke soalan kedua, mungkin hanya dua orang beri jawapan sama. Saya lanjut lagi, tiada lagi yang sama,” Linda berkata perlahan. Ia menyebabkan Halim kembali bersandar, memeluk tubuh dan meminta penjelasan.
“Kita unik, Halim. Semua manusia unik. Kita boleh kata dia ini sama dengan dia itu tapi kalau kita perdalamkan pemerhatian, pasti jumpa beza.
“Saya tak boleh bayangkan betapa kompleksnya isi dalam otak kita. Maksud saya bukan fizikal tapi isi fikiran.
“Tapi perbezaan itu juga bahaya. Ia boleh bawa kekacauan,” nada suara Linda makin perlahan. Ada desahan yang tak terbunyi. Dia mendesah dengan mata.
“Saya fikir kita semakin hampir dengan entropi.”
“Ini tentang media sosial, macam yang awak WhatsApp semalam?”
Linda memandang wajah Halim. Perlahan dia mengangguk dan menundukkan pandangan.
“Kita sukar untuk menerima perbezaan. Perbezaan yang gradual, yang kecil-kecil. Kita selalu ambil jalan mudah-“
“Melangkau proses berfikir?”
“Kita pilih untuk jadi komputer yang binari.”
Halim hanya diam, menunggu tutur seterusnya dari Linda.
“Ramai orang ingat hanya mereka yang konservatif, berpendidikan rendah akan jadi binari. Mereka tak tahu, perangkap binari ada di mana-mana.
“Lebih mudah terperangkap apabila kita mengabdikan diri untuk berjuang tentang sesuatu. Perjuangan ini apabila dikepil bersama keinginan untuk mencari musuh, mencari lawan kepada perjuangan kita, membawa kita rapat kepada binari.
“Kita sangka perjuangan itu perlukan lawan supaya ia bermakna. Kena ada orang salah baru boleh kata kita betul. Saya tak fikir ia perlu begitu tapi bagaimana, itu soalan yang saya belum dapat jawab.
“Dalam setiap hal berkait isu yang kita perjuangkan, kita cari kawan atau lawan. Hanya dua kotak, dua sudut. Dalam setiap hal, kita mahu putuskan dia ini kawan atau lawan.
“Apabila kita teruja mencari kawan atau lawan, pandangan-pandangan yang kelabu kita sudutkan kepada dua verdik, betul atau salah. Hitam atau putih. Kosong atau satu. Sokong aku atau lawan aku.
“Kita cari validasi dengan terburu-buru. Dan akhirnya, kita jadi binari.”
Bola tenis masih pegun. Angin menderu. Halim dan Linda bersama termenung.
Agak lama masa yang diambil Halim untuk memecah hening. Apa yang Linda katakan mengacau fikiran. Ia buat Halim kembali kepada bola tenis.
“Bila saya tengok bola ini,” bola tenis dipegang dan dibelek. “Ia mengingatkan saya kepada planet King Kai dalam Dragon Ball.”
Ibu jari Halim menggesek garis putih pada bola tersebut. “Hampir sama kan rupanya?”
“Saya tak tonton atau baca Dragon Ball,” balas Linda. Halim ketawa kecil.
“Mustahil. Tak mungkin generasi kita tak pernah baca atau tengok Dragon Ball.”
“Tak mustahil, saya salah seorang. Bukanlah tak pernah langsung, cuma tak ikut betul-betul. Saya jarang tengok TV masa kecil.
“Saya baca komik, tapi komik Hong Kong. Macam Senjata Misteri.”
“Megah Angkasa?”
“Ya Megah Angkasa. Golok Harimau. Pedang Kristal.”
Halim meletakkan kembali bola tenis ke atas meja. Pelayan datang membawa makanan. Semangkuk tomyam campur, dua keping telur dadar dan dua pinggan nasi. Teh o ais sudah hampir habis jadi Halim minta yang baharu.
“Apa saja yang kita lihat, imej itu masuk melalui mata ke fikiran kita. Di situ ia disambut memori dan pengetahuan yang ada,” Linda bersuara. Tomyam digaul perlahan.
“Sebab itu Halim, maklumat yang kita baca di media sosial hampir tiada yang tulen dan neutral. Semuanya sudah dicalit makna oleh orang yang berbeza, dengan memori dan pengetahuan berbeza.”
“Kalau media selain media sosial, begitu juga?”
“Masin sikit,” kata Linda selepas menghirup sesudu kuah tomyam. “Sama juga, saya rasa.
“Maklumat yang sampai pada kita sudah dicalit makna oleh penulis. Mungkin agenda organisasi, individu atau desakan untuk relevan. Ia sedikit sebanyak mengubah…”
“Makna?”
“Representasi makna. Itu lebih tepat.”
“Kalau saya tengok live, satu sidang media contohnya?”
“Bergantung. Kalau awak tengok tanpa baca caption atau komen yang ada, mungkin boleh dapat yang tulen.
“Susah sebenarnya tapi tak mustahil. Awak sendiri kalau boleh tapis, tak ada masalah.”
Halim mula mengunyah. Kunyahannya tertib jadi dia ambil sedikit masa untuk membalas kata-kata Linda.
“Saya sebenarnya belum dapat hadam tapi saya fikir saya setuju. Saya pernah fikirkan benda yang hampir tapi ungkapan awak buat saya fikir lebih dalam.”
Linda sekali lagi menggaul perlahan tomyam di depannya. “Tomyam ini asalnya air kosong saja. Tapi bila dicampur dengan pelbagai rencah dan rempah, ia jadi tomyam dan kita makan ia sebagai tomyam.
“Maklumat tular yang kita terima dalam media sosial juga asalnya satu benda tapi bila dicampur pelbagai tafsiran orang sepanjang ia mengalir menjadi tular, ia jadi benda lain dan kita terima sebagai benda lain.”
Halim tergelak. Dia bergelut mengekalkan nasi dalam mulut sambil tergelak. Linda ikut ketawa tapi mahukan penjelasan.
“Tular. Saya teringat lawak Jimmy Carr. Haha.”
“Dia pakar menghina, haha. Tapi hinaan dia kalau dibawa ke negara kita, lain jadinya.”
“Konteks. Begitulah,” Halim meneguk teh o ais. “Manis. Lagi manis daripada yang tadi.”
“Awak tahu satu benda yang sangat merugikan?” Linda mula mengunyah. “Haih, masin.”
“Bila tomyam dirosakkan oleh garam berlebihan?” Halim tersenyum. Linda tergelak dan dia pula yang bergelut mengekalkan nasi dalam mulut.
“Itu satu. Satu lagi…”
Selesai telan semua nasi dalam mulut, Linda menyambung, “Banyak program orientasi universiti dan program motivasi sekolah guna permainan Radio Rosak tapi tak ramai yang ambil pengajaran.”
“Haha,” Halim gelak. “Orang benci program orientasi. Dalam Twitter, kita hanya dapat baca orang mengutuk program orientasi. Bagi mereka ia tak berguna.”
“Fikirkan balik hal tomyam. Haha. Satu lagi, apa-apa hal yang kita terpaksa buat, kita kena cari jalan untuk dapatkan manfaat. Kalau tak, kita yang rugi.
“Saya setuju program orientasi tak sempurna atau boleh dimansuhkan tapi kalau awak dah lalui dan awak cerita pada semua orang ia tak bawa manfaat, awak sedang dedahkan kelemahan sendiri.”
Halim sudah sampai ke suapan terakhir. “Radio Rosak, apa maksud awak?”
“Simple. Permainan itu beritahu kita yang maklumat apabila diterima tanpa konteks yang tepat, atau kurang jelas, apabila disampaikan akan menyeleweng lebih jauh. Lebih jauh ia bergerak lebih jauh ia menyeleweng.”
Halim sendawa kecil. Teh o ais disedut habis.
“Saya ada satu maklumat tepat dan tulen untuk awak. Tomyam ini masin dan teh o ais ini manis.”
Kedua-duanya berketawa. -UTUSAN










