150 tahun Taiping: Ada sejarah yang perlu diperbetulkan - Utusan Malaysia

150 tahun Taiping: Ada sejarah yang perlu diperbetulkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 20 Januari ini, Taiping bakal menyambut ulang tahun ke-150. Sebagai salah sebuah daerah yang penuh bersejarah dan mempunyai warisan tersendiri, Taiping turut menjadi tumpuan sebagaimana bandar-bandar lain sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, tarikh sambutan ulang tahunnya yang ke-150 pada 20 Januari ini hakikatnya bukanlah tarikh sebenar kewujudan bandar Taiping.
Ada sejarah yang perlu diperbetulkan tentang tarikh tersebut bagi memastikan faktanya lebih tepat.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, tarikh sebenar kewujudan bandar Taiping adalah pada 20 Februari 187 dan bukannya 20 Januari disebabkan fakta yang pernah tercatat.
“Pada 20 Februari 1874, Menteri Ngah Ibrahim bersama Kapten Speedy dan pemimpin dua kumpulan kongsi gelap iaitu Ghee Hin serta Hai San menandatangani satu dokumen menerusi Suruhanjaya Perdamaian Larut bagi menyelesaikan pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap ini.
“Menerusi suruhanjaya ini, pembahagian sempadan dibuat iaitu Kamunting ditetapkan kepada Ghee Hin manakala Taiping ditetapkan kepada Hai San,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, sejarah awal Taiping bermula dengan sebuah kawasan perlombongan bijih timah yang dibuka oleh Long Jaafar pada tahun 1818 dengan nama Klian Pauh dan diteruskan anaknya, Menteri Ngah Ibrahim.
Apabila persempadanan di Larut dilakukan oleh Suruhanjaya Perjanjian Pangkor, lokasi bandar Taiping beralih ke tempat baharu. Pihak British menerusi Kapten Speedy dan Sir Hugh Low mengambil alih peranan pembesar Melayu dalam menerajui perkembangan bandar Taiping.
Pembinaan bandar baharu sekaligus menamatkan era kegemilangan pentadbiran Long Jaafar dan Menteri Ngah Ibrahim selama 34 tahun.
Taiping turut menjadi bandar utama dan pusat pentadbiran negeri-negeri Melayu sebelum Kuala Lumpur.
Nor Hisham berkata, Kapten Speedy turut merekodkan pemilihan tapak untuk bandar baru Taiping dan Kamunting pada awal Mac 1874.
“Perkara tersebut turut dicatatkan Swettenham pada 1951 dan J.M Gullick pada 1953. Tiada dinyatakan dalam Perjanjian Pangkor 1874 tentang pembentukan bandar Taiping sama ada pemimpin Melayu Perak dan pemimpin Inggeris atau Cina Larut,” jelasnya.
Dalam pada itu Nor Hisham berkata, apa yang diperkatakan bukanlah sesuatu yang tidak berasas dan dia mempunyai bukti tersendiri selain menerusi kajian yang dilaksanakan pada 2013 dan 2017.
“Ramai tidak tahu tentang tarikh itu. Ada dokumen tersimpan di arkib dan saya sendiri yang buat kajian.
“Malah, saya turut mempunyai dua salinan dokumen yang dapat membuktikan tarikh sebenar sejarah pembentukan Taiping,” ujarnya.
Nor Hisham pada masa sama yang turut berharap agar sejarah Taiping dapat diperbetulkan bersempena ulang tahunnya nanti. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya