Berhenti makan ubat cair darah boleh akibatkan maut

Berhenti makan ubat cair darah boleh akibatkan maut

ubat
Dr. Mohd. Shawal Faizal Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai pesakit tersalah anggap dan bimbang darah mereka akan menjadi cair apabila makan ubat cair darah yang diberikan doktor.

Ini menyebabkan pesakit berhenti memakannya kerana bimbang kesan sampingan yang mengakibatkan risiko pendarahan pada gusi, hidung atau darah tidak berhenti sekiranya terluka.

Tindakan begini hanya mendedahkan mereka dengan risiko lebih tinggi berlakunya pembekuan darah ke otak serta organ lain seperti buah pinggang dan paru-paru. Lebih merisaukan, ia juga boleh membawa maut.

Pesakit perlu faham, haki­katnya ia tidak membuatkan darah cair mahu­pun memecahkan darah beku sedia ada. Sebalik­nya, fungsinya sebagai cair da­rah untuk menghalang pem­bentukan darah beku dan memperlahankan per­kembangan darah beku sedia ada.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM), Dr. Mohd. Shawal Faizal Mohamad berkata, ia perlu di makan sepanjang hayat pesakit.

“Menghentikan pengambilan ubat cair darah tanpa nasihat doktor, boleh mendedahkan pesakit dengan risiko darah beku pada otak seterusnya boleh berlaku strok dan membawa maut.

“Ubat cair darah hanya wajar dihentikan pengambilannya sekiranya risiko pendarahan adalah lebih tinggi daripada keberkesanan ubat berkenaan. Bagaimanapun, keputusan untuk berhenti makan ubat itu perlulah mendapat nasihat pakar terlebih dahulu, “ katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dr. Mohd. Shawal berkata, ia berfungsi untuk pencegahan berlakunya pembekuan darah yang menghalang aliran darah ke jantung, paru-paru dan otak. Secara tidak langsung ia mengelakkan risiko berlakunya serangan jantung dan strok.

“Ubat cair darah biasanya digunaka pesakit yang pernah terkena serangan jantung dan strok. Pengambilannya bertujuan mengurangkan risiko serangan kali kedua dengan memastikan aliran darah ke jantung berjalan lancar.

“Bagi mereka yang mengalami masalah injap dan perlukan injap prostetik, mereka juga memerlukannya iaitu warfarin. Pesakit yang memerlukan ubat cair darah adalah pesakit jantung bertujuan mengelakkan proses penyempitan artherosklerosis dan memelihara integriti stent dan graft pembedahan pintasan yang dijalankan,” katanya.

Jelasnya, sesetengah penghidap penyakit tekanan darah tinggi memerlukan ubat cair darah namun hanya yang ada petanda serangan jantung, strok dan fibrilasi atrium saja perlu makan ubat ini.
Jenis ubat cair darah

Dr. Mohd Shawal berkata, terdapat dua jenis ubat cair darah yang biasanya diberikan.

“Ubat cair darah anti-platelet dan ubat anti-coagulasi adalah ubat cair darah yang biasanya diberikan kepada pesakit. Ubat anti-platelets seperti aspirin, plavix dan brilinta. Ubat cair darah anti-platelets kebanyakannya di makan oleh mereka yang pernah mengalami serangan jantung atau strok.

“Manakala ubat cair darah anti-coagulasi seperti warfarin dan anti-coagulasi novel seperti dabigatran, rivaroxaban, apixaban dan edoxaban pula bertujuan memperlahankan proses pembentukan darah beku,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan sampingan yang boleh dialami pesakit. Kesan yang paling biasa adalah berlakunya pendarahan.

“Kesan yang paling dirisaukan adalah pendarahan terutama pada organ penting seperti otak dan sistem penghadaman. Pendarahan ini boleh berlaku bila-bila masa.

“Antara petanda berlaku pendarahan dalaman adalah warna air kencing kecoklatan atau merah, gusi berdarah, pendarahan pada hidung, batuk berdarah dan darah luka tidak berhenti,” terangnya.

Sekiranya berlaku pendarahan, beliau menasihatkan pesakit berhenti memakannay dan terus ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan bagi menghentikan pendarahan.

Katanya bagi wanita yang masih dalam usia reproduktif, mungkin boleh mengalami pendarahan sekiranya mengalami masalah kesihatan menstrual seperti fibroid atau pendarahan rahim (dysfunctional uterine bleeding).

Selain itu, ubat cair darah boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada perut, loya dan cirit-birit. Kadangkala, seseorang yang mempunyai darah cair juga mungkin terdedah kepada lebam secara tiba-tiba, dikenali sebagai purpura atau pendarahan tusukan pada kulit yang dikenali sebagai petechiae.

“Mereka yang memakannya dari jenis anti-koagulasi warfarin pula, terdapat pantang larang makanan. Makanan yang mengandungi vitamin K boleh mengganggu keberkesanan warfarin mencairkan darah.

“Sumber makanan yang mengandungi vitamin K seperti sayur bayam, brokoli, asparagus dan kailan. Terdapat juga beberapa jenis buah yang perlu dielakkan seperti kiwi dan jus anggur,” katanya.

Pesakit dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan doktor untuk memastikan diet yang sesuai berdasarkan jenis ubat yang dimakan. Apa yang penting perlu segera ke hospital jika berlaku tanda-tanda pendarahan.

Info

Segera ke hospital jika mengalami tanda-tanda pendarahan di bawah;
Pendarahan menstrual yang tidak normal.
Air kencing berwarna merah atau coklat.
Najis berwarna merah atau hitam.
Pendarahan gusi atau hidung yang tidak berhenti.
Muntah berwarna coklat atau merah terang.
Batuk berdarah.
Sakit kepala atau perut yang luarbiasa.
Lebam luar biasa.
Darah luka tidak berhenti.
Terasa pening atau lemah.

Perkara penting apabila makan ubat cair darah:
Makan ubat cair darah mengikut waktu yang ditetapkan oleh doktor anda.
Lakukan ujian darah seperti diarahkan. Jangan ‘ponteng’ makan ubat dan dos ditetapkan.
Sekiranya terlupa makan ubat, jangan gandakan dos ubat.
Langkah atasi pendarahan:
Pendarahan gusi: Tekap dengan kain bersih atau uncang teh yang sudah digunakan selama 30 minit.

Elakkan:
Minum minuman panas
Menggunakan straw
Meludah
Berkumur
Merokok
Elakkan makanan yang keras selamat dua hingga tiga hari.
Berjumpa doktor jika pendarahan tidak berhenti selama dua hingga tiga jam.

Cara hentikan pendarahan akibat luka:
Tekap luka dengan kain gauze atau kain bersih selama 15 minit. Angkat bahagian yang luka supaya tinggi dari jantung
Sekiranya masih berdarah, cuba sapukan ubat menghentikan pendarahan. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya