Rawat segera jangkitan telinga tengah - Utusan Malaysia

Rawat segera jangkitan telinga tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah anda mengalami sakit telinga atau cecair keluar dari telinga? Cecair yang mengalir dari telinga boleh berwarna putih, kuning atau coklat dan kadangkala berbau busuk. Keadaan atau gejala ini mungkin disebabkan oleh jangkitan di bahagian telinga tengah atau dikenali sebagai otitis media.
Menurut Audiologis Hospital Pakar KPJ Puteri, Nurulaqilah Mohd. Sih, otitis media adalah keradangan atau jangkitan yang berlaku di bahagian telinga tengah.
“Terdapat beberapa jenis otitis media termasuk Acute Otitis Media (AOM). Ini berlaku jangkitan akut pada telinga tengah dengan kehadiran cecair di telinga tengah dan gegendang telinga membonjol atau membengkak dan menyebabkan sakit telinga.
“Selain itu, Otitis Media with Effusion (OME) iaitu pengumpulan cecair di telinga tengah tanpa tanda-tanda jangkitan akut. Simptom utama bagi OME adalah kurang pendengaran.
“Pesakit juga boleh mengalami Chronic Suppurative Otitis Media (CSOM). Ini berlaku keradangan kronik di telinga tengah dan rongga mastoid dengan gegendang telinga berlubang. Simptom utama bagi CSOM adalah cecair mengalir keluar dari telinga,” terangnya.
Tambah Nurulaqilah, jangkitan telinga tengah adalah salah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun ia juga boleh terjadi kepada orang dewasa.
“Terdapat beberapa prosedur bagi mengenal pasti masalah ini. Selain sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal yang lengkap, prosedur diagnostik tertentu dilakukan untuk mengenalpasti jangkitan telinga tengah termasuk penggunaan otoskop pneumatik oleh doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) untuk memeriksa pergerakan gegendang telinga terhadap perubahan tekanan.
“Selain itu, ujian Tympanometry (pemeriksaan telinga tengah) dilakukan untuk memeriksa keadaan dan fungsi telinga tengah dan ujian Audiometri Nada Tulen (ujian pendengaran) dilakukan untuk mengenal pasti tahap pendengaran dan jenis masalah pendengaran,” katanya.
Tambah beliau, terdapat beberapa rawatan boleh dilakukan untuk masalah pendengaran ini.
Gejala jangkitan telinga tengah akan bertambah baik dengan pengambilan ubat. Bagaimanapun, jika gejala berlaku secara berterusan (lebih daripada tiga bulan), pembedahan akan dipertimbangkan oleh doktor.
“Pesakit juga ditawarkan rawatan tanpa pembedahan dengan pengambilan ubat-ubatan atau penggunaan alat bantu pendengaran (jika pembedahan tidak digalakkan atau tidak perlu).
“Pembedahan juga boleh dilakukan dengan prosedur myringotomy yang melibatkan proses memasukkan tiub pengudaraan (VT) pada gegendang telinga,” ujarnya.
Nurulaqilah menjelaskan, pesakit yang menjalani pem­bedahan memasukkan tiub pengudaraan (VT) pa­da gegendang telinga dina­sihatkan untuk memastikan telinga sentiasa kering.
Selain itu, pesakit juga digalakkan meng­gunakan penyumbat telinga (earplug) semasa berenang atau mandi dan jangan masukkan objek ke dalam telinga
Umum­nya, tiada ujian khusus untuk menyaring masalah jangkitan telinga tengah.
“Namun apabila anda mengalami gejala berkaitan dengan jangkitan telinga tengah, adalah penting untuk anda berunding dengan doktor dan mungkin akan dirujuk ke doktor pakar ENT untuk prosedur diagnosis yang tepat atau rawatan lanjut,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.