KUALA LUMPUR: Pemuzik dan pemain gitar kumpulan rock Wings, Edrie Hashim, 51, berpendapat, warganet yang melemparkan komen berbaur negatif terhadap penyanyi legenda seperti Amy Search tergolong dalam kategori mereka yang tidak beradab.
Malah, menurut Edrie, kemungkinan komen-komen negatif yang mengutuk dan mengkritik Amy juga datangnya daripada orang-orang yang tidak ada berilmu atau memiliki IQ rendah.
“Saya perhatikan, ramai yang komen di media sosial berkenaan persembahan Amy di konsert baru-baru ini seakan menunjukkan di mana tahap IQ mereka berada. Kita pun tahu, masyarakat kita tak semua orang pandai, tetapi biarlah ada adab.
“Ini tak pandai malah tidak beradab pula. Lontarkan komen sesuka hati dan saya percaya ramai juga yang berhasad dengki. Kita lihat aktiviti kutuk mengutuk di media sosial ini anggap sajalah macam borak-borak kedai kopi.
“Sebenarnya, kita tak perlu memartabatkan komen negatif mereka itu. Anggap sahaja sampah,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Edrie berkata demikian bagi mengulas isu kecaman yang diterima rakan seperjuangannya, Amy Search, yang dikutuk warganet menerusi video Facebook, kononnya gagal menyanyikan lagu Pawana dengan baik ketika Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena, Sabtu lalu.
Jelas Edrie, dia percaya Amy telah memberikan sepenuh tenaga untuk menjayakan konsert tersebut dan fokusnya demi menghiburkan peminat-peminat sejati yang telah lama menyokong kerjaya muziknya.
“Patutnya, kita lihat pada hasil tiket laris sebagai penanda aras kepada kejayaan sesebuah konsert. Macam Amy, saya pun yakin dia berkarya muzik demi peminatnya.
“Contoh kalau saya ada jumlah pengikut 100,000 di media sosial, maka saya berkarya untuk peminat itu saja, yang menyokong saya. Ini yang kutuk-kutuk Amy itu pun, tak ada kena-mengena.
“Tetapi mereka rasa komen negatif mereka itu penting untuk semua rakyat Malaysia tahu. Lagi pelik, mereka anggap menjadi warganet itu macam satu pekerjaan pun iya. Rasa mereka seakan berhak untuk komen apa sahaja tentang orang lain,”katanya.
Dalam pada itu, kata Edrie, luahan yang dibuatnya bukan kerana mahu menyebelahi Amy semata-mata, tetapi juga mewakili semua artis lain.
“Amy sudah bertaraf legenda. Saya anggap orang yang kutuk dia itu melonjakkan lagi populariti yang ada padanya. Buat artis lain, jangan risau kalau nama anda dikutuk warganet.
“Itu bermakna diri anda berjaya dapat ‘highlights’ daripada warganet. Itu bermakna anda seorang bintang dan hebat!”katanya.










