Saya mangsa keadaan – Shuib - Utusan Malaysia

Saya mangsa keadaan – Shuib

PUCHONG, 27 JANUARI 2021 - Wawancara bersama pelawak, Shuib SEPAHTU di Taman Putra Perdana di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; ROSIHAN, FAHMY, AIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan dan pengubahan wang haram sekarang ini ibarat polong tak bertuan. Semakin hari, semakin bercambah-cambah kemunculannya.

Tanpa sedar, itu menjejas dan mencemari imej negara sekali gus menghakis kepercayaan rakyat.

Dalam wawancara kali ini, Mingguan Malaysia menemu bual seorang selebriti yang sudi berkongsi pengalaman hitam disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram pada Oktober tahun lalu.

Dia yang dimaksudkan ialah pelawak terkenal yang juga pemilik jenama Bubble Bee iaitu Shahmira Muhamad, 36 yang sohor dengan nama pentas Shuib. Menyifatkan pengalaman disoal siasat sebagai sangat menakutkan, dia meninggalkan pesan kepada rakan artis agar lebih berjaga-jaga dengan modus operandi sindiket cuci wang yang menyasarkan selebriti.

Ikuti temu bual ini, yang disertai wartawan Aida Rizmariza Kamaruddin, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz. Ia turut dibantu jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil.

MINGGUAN MALAYSIA: Perkembangan terkini Shuib?
SHUIB: Saya dah rasa macam disoal oleh peguam pula (tertawa). Macam inilah, sebab stesen radio Hot FM pun dah selesai perkhidmatan, Alhamdulillah. Walaupun sedih, tapi itu pemergian yang boleh dikenang. Sebab pengalaman dengan mereka menyeronokkan.

Bagaimana rutin setelah tak lagi jadi penyampai radio?
Rutin masih sama tapi sekarang saya lebihkan kepada perniagaan BubbleBee. Untuk makluman, saya keluar daripada Hot FM bukanlah gimik. Saya tak terima mana-mana tawaran dari stesen lain, tiada. Memang keputusan itu dibuat bulat, sebab nak fokus kepada bisnes.

Kalau jadi penyampai tak boleh fokuskah?
Mana-mana radio pun, pertama komitmen pagi itu satu hal, tapi insya-Allah kita boleh buat, boleh bangun pagi. Cuma selepas itu, lagi pula Hot FM banyak sangat pengisian untuk Youtube dan sebagainya. Jadi habis kerja, memanglah akan habis pukul 11, 12 tengah hari. Tapi komitmen lain di konti itu tinggi.

WANG HARAM

Bagaimana dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini?
SPRM ini, kalau mengikut peguam saya, dah bebas dan tiada apa-apa masalah. Sebab maksudnya kalau dulu akaun kena beku, sekarang sudah dinyah beku. Barang-barang yang dirampas pun, semua telah dihantar semula, dah lama dah, sebulan lebih sebenarnya. Kereta pun sudah dapat balik. Cuma saya cuba juga cakap dengan peguam, kalau SPRM boleh keluarkan kenyataan rasmi mengenai isu babitkan saya ini, lagi cantik.

Apa kata peguam?
Sekarang peguam pun sedang berusaha ke arah itu. berbincang dengan SPRM keluarkan surat atau sebagainya. Kalau ada surat pemberitahuan itu, ia membantu menjernihkan segala salah faham. Malah di pihak BubbleBee pun mungkin kita akan buat sidang media. Kita tidak mahu timbul persepsi. Kena buat pencerahan. Harapnya, cepatlah surat itu dikeluarkan.

Berapa lama harta dan akaun dibekukan?
Lama, tiga bulan. Semua dibekukan. Kalau nak cerita bab akaun yang kena, akaun isteri, semua berkaitan nama Shuib dan BubbleBee, dibekukan. Kalau mereka semak jejak wang pun, akan ada akaun lain dibekukan. Contohnya, saya ada pindahkan sejumlah wang kepada akaun si polan, akaun itu pun akan dibekukan. Benda ini bukan kecil, ini bab besar sebab kadang-kadang kita kasihan pada kawan-kawan kita yang tiada kena mengena pun, tapi akaun mereka tetap kena beku.

PENGALAMAN HITAM

Pengalaman sepanjang siasatan?
Macam inilah keadaannya, macam disoal Mingguan Malaysia ini (tertawa). Tak semua orang suka keadaan itu dan saya memang tak suka pengalaman itu. Macam yang kita boleh tengok dalam filemlah.
Ada bilik yang badi, mereka kata ada ‘orang besar’ pernah disoal siasat dalam bilik itu, tidur di katil dalam bilik itu. Habis, buat apa cerita benda ini pada saya, nak suruh saya tidur katil yang sama? Tak, cuma nak beritahu, pegawai SPRM itu cakap pada saya.

Adakah tertekan dengan senario itu?
Sebenarnya kalau nak diikutkan, tekanan paling dahsyat masa sebelum itu, sebelum sampai ke ibu pejabat SPRM. Masa itu daripada rumah mereka bawa saya ke pejabat BubbleBee ini, teraburkan semua fail atas meja ini mereka semak. Paling tertekan sebenarnya masa itu.

Kenapa?
Kita tak tahu, hendak apa sebenarnya mereka ini? Cerita apa sebenarnya ini? Pasal mereka tak beritahu, mereka cuma cakap: “Ini prosedur, kita tak boleh beritahu. Cuma kita nak tengok dulu, nak ambil benda yang kita perlu”. Itu pengalaman yang saya tak suka langsung.

ASET KENA BEKU

Apa lagi berlaku?
Lepas itu tiba-tiba mereka boleh keluarkan macam dokumen, sambil cakap: “Okay sebentar lagi kita akan ke SPRM. Tapi nanti kereta awak kita akan sita”. Saya tanya, eh tadi kata nak tengok fail sahaja, kenapa nak sita-sita pula ini. “Bos kita cakap, kereta kena disita dahulu”. Bayangkan, selepas satu, satu. Itu yang paling tertekan.

Bila dah sampai SPRM, apa jadi di sana?
Bila dah sampai sana sebenarnya, ia tak terlalu tertekan sebab bila sampai saja, mereka bawa saya ke bilik siasatan. Di sana ada pegawai cakap, “Sekarang tak perlu bertuan-tuan ya bro, sebab dia pun tua setahun saja daripada saya. Sekarang kita cerita pasal si polan dan si polan,” katanya. Masa itu tiada tekanan langsung, sebab kita nak cerita benda yang kita tahu.

Maksudnya?
Kita tak salah, jadi senanglah kita nak cerita. Tapi sebelum itu, kita umpama orang yang tak ketahuan. Kita tak tahu apa salah kita, tapi kita rasa macam SPRM beranggapan bahawa kita bersalah. Cara dia pandang kita, cara dia tanya kita.

‘MATI AKU’

Bagaimana pula dengan persepsi masyarakat, itu tambahkan tekanan?
Itu pun satu tekanan. Sebab, mula soal siasat dengan SPRM lebih kurang pukul 3.30 petang. Tapi pukul 9 malam hari yang sama, ada seorang kawan ini, dia Datuk. Dia tunggu luar, kemudian dia cakap masa saya di luar, “Kau dah viral, kau dah viral”. Dia suruh saya buka media sosial, saya pinjam telefon orang, menggigil tangan buka laman-laman berita, bila tengok ada satu berita, posting baru satu jam tapi di ruang komen, sudah ada lebih 2,000 komen. Mati ini, saya cakap.

Apa berlaku kemudian?
Masa itu kita dah rasa tekanan. Ya lah, netizen ini kita tahulah. Walaupun tahu kita di pihak yang betul tapi sikit sebanyak, mesti terkesan dengan komen mereka. Sebab ada segelintir mula sentuh bab keluarga, kau ini bagi makan anak-anak dengan duit haram, itu antara komen dilontarkan. Masa itu kita akan rasa, dah lah kita tahu kita tak salah, tapi netizen boleh cakap macam ini.

Bila mula sedar kesan viral?
Lepas selesai soal siasat pada pukul 1 pagi, bila balik rumah, tidur macam biasa. Tapi esok pagi, mula saya fikir bahawa kes ini dah jadi isu besar. Portal-portal mula siarkan berita siasatan itu. Mereka siarkan berita, rakan niaga BubbleBee kena gari SPRM sambil pakai baju oren. Itu yang rasa, ini bukan kes main-main. Lepas itu bila tengok siasatan membabitkan jumlah duit yang banyak pula, saya rasa macam kalau satu, dua juta okay lagi, tapi ratusan juta ringgit.

KESAN SIASATAN TERHADAP BISNES

Sejauh mana siasatan beri kesan terhadap bisnes BubbleBee?
Mula-mula memang beri kesan, sebab orang mula boikot dan sebagainya. Mereka rasa macam ini perniagaan yang menganiaya orang, ambil duit kemudian buka bisnes. Memang ada, malah dah ada tanda pagar #boikotBubbleBee. Itu lah titik tolak orang rumah saya jadi lagi goyang. Bila dia goyang, kita pun terikut sama. Buat keadaan lebih teruk, ada orang datang outlet BubbleBee untuk memaki hamun dan marah-marah. Mereka cakap, eh, kau tak malukah berniaga pakai duit haram?

Berapa peratus perniagaan terjejas?
Dua minggu pertama sejak kes jadi tular, hampir 50 peratus jualan terkesan dan turun. Tapi tak tahu ajaibnya, bila kita buka cawangan baru pada masa sama, sambutan penuh. Orang datang beratur dan sebagainya.

PUBLISITI TAK DISENGAJAKAN

Jadi bermaksud siasatan SPRM secara tak langsung beri ruang publisiti secara tak sengaja?
Ya pasti, benda itu memang berlaku. Kita sebagai orang Islam percaya, setiap dugaan itu pasti ada kebaikan untuk kita, pasti ada kelebihan yang kita mungkin tak nampak. Bila cakap dengan kumpulan bisnes saya, sampai saya cakap: “publisiti macam ini, kalau kena nak bayar Gegar Vaganza (GV), nak bayar Anugerah Juara Lagu (AJL), berapa juta ringgit kena labur? Malah, kalau bayar AJL atau GV, kelompok itu saja yang tahu. Tapi sebab siasatan ini, publisiti kita seluruh dunia.”

MEREBAK DALAM INDUSTRI

Sejauh mana sindiket cuci wang sasarkan selebriti? Atau Shuib mangsa keadaan semata-mata?
Boleh dikatakan saya adalah mangsa, mungkin kadang-kadang orang tak suka kita. Orang tengok, kau ini berjaya sangat ya? Kita sabotaj dia. Sejujurnya saya tidak pernah tahu mengenai pengubahan wang haram. Memang pernah dengar, tetapi tak sangka ia sebegini besar sehingga melibat ratusan juta ringgit. Ingatkan kecil jumlahnya, rupanya mereka curi beratus juta. Tak baiklah. Kasihan orang-orang kampung yang jadi mangsa.

Jadi adakah sindiket memang sasarkan artis untuk cuci duit?
Sebenarnya ini pertama kali saya dengar. Masa benda ini sudah kecoh, ada pula bunyi-bunyi kata sindiket gunakan artis untuk cuci duit. Masa itu terfikir, adakah orang buat macam itu. Saya tak pernah dapat pun? Tak pernah kena offer pun untuk buat-buat bisnes haram ini. Kalau nak tanya artis lain pun, siapa artis terlibat? Tak ada pun.

Pesanan kepada artis lain?
Lepas ini, kalau orang nak tawarkan buat bisnes janganlah pakai ambil saja. Ambil masa untuk selidik latar belakang seseorang itu. Namun dalam kes saya ini keadaannya juga berbeza sebab orang yang dikaitkan dengan saya itu juga tidak bersalah. Selain itu, benda penting yang saya belajar juga adalah dalam perniagaan sendiri bagaimana transaksi secara tunai yang melibat jumlah wang yang banyak perlu melalui proses yang betul. Selama ini saya tidak tahu akan perkara itu.

Maksudnya?
Bila sudah sampai ke SPRM, mereka ada akta-aktanya. Kau kalau hendak buat bisnes, kena ikut cara dan jalan betul. Kau beri wang tunai, itu salah. Selama ini kita pun tak tahu. Rupanya dalam bisnes terutamanya melibatkan jutaan ringgit, tak boleh main wang tunai. Itu semua kita kena belajar dan ambil tahu.

Ada pesanan lain?
Tak payahlah buat benda pelik-pelik. Sepanjang dengan SPRM, itulah pengajarannya. Mereka pun pesan, awak kena selidik dan kena tahu orang itu siapa, kalau boleh ada akses dapatkan nombor kad pengenalan dia, dan boleh terus semak. Ini penting untuk tahu sama ada dia ada kes jenayah atau tak sebelum ini. Pendapatan dia pun kita kena tanya juga. Sama juga macam wang tunai tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN