Lapan bulan bergelar ibu, diuji kanser payudara

Lapan bulan bergelar ibu, diuji kanser payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman pertama bergelar ibu menjadi antara detik paling indah dalam hidup wanita ini.

Namun, di sebalik kebahagiaan itu, Dr. Amelia Siah, 41, berdepan ujian besar apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap dua, kira-kira enam tahun lalu.

Ketika itu, anak perempuannya baru berusia lapan bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekelip mata, kehidupan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aglow Clinic ini berubah.

Dia terpaksa mengimbangi peranannya sebagai ibu, usahawan dan perjalanan rawatan kanser yang tidak pernah dijangka.

Pemeriksaan lanjut mendapati ketulan berukuran 2.3 sentimeter pada payudara kirinya ialah kanser triple-negatif (TNBC).

TNBC merupakan kanser yang agresif dan cenderung merebak dengan lebih cepat berbanding jenis lain.

“Selama seminggu, saya tidak lena tidur memikirkan risiko yang bakal dihadapi, termasuk kemungkinan kematian, sedangkan anak masih kecil dan perniagaan pula baru mula bertapak.

“Akhirnya, saya nekad menjalani rawatan demi kembali sihat,” katanya baru-baru ini.

Sepanjang dua tahun berjuang melawan kanser, pelbagai rawatan dijalani termasuk 16 kitaran kemoterapi, pembedahan, 20 sesi radioterapi dan kemoterapi oral selama sembilan bulan.

Kini, Amelia bukan sahaja disahkan bebas kanser, malah perniagaan klinik estetik yang diasaskannya turut berkembang sehingga mempunyai 18 cawangan di seluruh negara.

Ibu sumber kekuatan

Sumber kekuatan terbesarnya adalah daripada ibu lebih-lebih lagi apabila wanita itu sendiri pernah melalui pengalaman berdepan penyakit sama.

Ibunya disahkan kanser payudara TNBC dua tahun sebelumnya, ketika berusia 63 tahun.

“Antara kata-kata ibu yang masih saya ingat ialah, jika dia boleh melalui semua itu, saya juga pasti dapat menghadapinya.

“Ketika itu, ibu masih dalam fasa pemulihan dengan rambutnya yang masih botak, tetapi dia kekal positif dan berusaha menjaga saya serta cucunya,” katanya.

Pengalaman itu turut mendorong Amelia menjadikan sukan padel sebagai platform untuk menggalakkan wanita lebih peka terhadap kesihatan diri.

Menerusi kejohanan tersebut, wanita bukan sahaja dapat beriadah dalam suasana santai, malah berpeluang membuka perbualan mengenai kesejahteraan diri dan kesihatan payudara.

“Sebagai pejuang kanser payudara, saya faham betapa pentingnya untuk kita mengenali tubuh sendiri dan mengambil serius soal kesihatan.

“Saya berharap kejohanan padel ini dapat mengingatkan wanita supaya tidak mengabaikan diri sendiri dan terus kekal aktif,” katanya.

Peserta dan tetamu juga berpeluang menyertai sesi pilates, pendidikan kesihatan, pengalaman interaktif dan pemeriksaan klinikal payudara oleh Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini