Kebun Grow & Give hilangkan kemurungan, erat silaturahim

Kebun Grow & Give hilangkan kemurungan, erat silaturahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemergian suami secara mengejut pada Februari,2025 menyebabkan Zaharah Mustapha mengalami kemurungan teruk sehingga mengasingkan diri di dalam rumah kerana takut berjumpa orang ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zaharah, 60, berkata kehilangan suami akibat serangan jantung cukup meninggalkan kesan terhadap dirinya kerana hubungannya dengan arwah suami sepanjang perkahwinan mereka, sangat rapat dan boleh dikatakan mereka sentiasa bersama ke mana saja.

“Arwah suami mengalami serangan jantung. Malam itu, kami makan bersama dan arwah nampak berselera dan menambah nasi. Arwah pun bergurau macam biasa. Esok paginya, dia sudah tiada.

“Perubahan saya selepas ketiadaan suami menyebabkan tiga anak saya, takut melihat keadaan saya.

“Mereka tertanya-tanya kenapa ibu mereka jadi macam ini? Saya tidak mahu bercakap dengan orang, tidak mahu keluar rumah. Bila terpaksa keluar, pakai pelitup muka. Saya menggeletar dan hilang keyakinan diri,” katanya.

Zaharah Mustapha pulih dari kemurungan selepas menyertai aktiviti berkebun.

Keadaan Zaharah mula berubah selepas dipelawa oleh Ketua Kumpulan Kebun Komuniti Medan Jaya, Norlizah Jaaman, 49, untuk menyertai aktiviti menanam sayur-sayuran setiap hujung minggu yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.

Pada awalnya, suri rumah sepenuh masa itu mengakui sangat malu dan kurang yakin untuk keluar dan berjumpa penduduk lain yang menyertai program berkebun tetapi Zaharah bersetuju selepas dipujuk oleh Norlizah.

“Saya bersyukur kerana Norlizah memasukkan nama saya dalam kumpulan Kebun Komuniti penduduk di sini. Kebetulan saya sebenarnya memang minat berkebun. Jadi, saya bersetuju.

“Apabila datang ke kebun ini, saya rasa tenang. Bila buat kerja-kerja kebun seperti menyemai benih sayur, buat saya lupa dengan kesedihan yang membelenggu. Ia seperti penawar kepada kemurungan saya.

“Saya ini boleh dikatakan sebagai contoh yang dialami hasil manfaat berkebun. Saya dapat berjumpa sahabat-sahabat setiap minggu di sini dan kami berkawan seperti satu keluarga.

“Saya kembali menjadi diri saya seperti sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kebun berkenaan adalah inisiatif Tune Protect dan Sunway XFarms di bawah projek Grow & Give yang bermula sejak Mei 2025.

Ubah kawasan terbiar

Idea awal untuk mewujudkan kebun di hujung kawasan pangsapuri Medan Jaya itu timbul apabila seorang daripada penduduk, Norlizah mendapati satu sudut kawasan di sekitar pangsapuri itu ditumbuhi semak samun sekali gus menjadi sarang haiwan berbisa seperti ular.

Norlizah Jaaman menunjukkan sayur timun.

Norlizah yang sudah tinggal di pangsapuri itu sejak 21 tahun lalu berkata, daripada kawasan berkenaan terbiar, lebih baik jika ia dijadikan kebun yang ditanami sayur dan buah-buahan.

“Pada asalnya memang berkebun ini bukan minat saya tapi saya nampak ruang tanah yang semak ini, saya rasa boleh dibersihkan dan jadikan ia kawasan yang mendatangkan manfaat pada komuniti.

“Pada tahun 2023, saya bersama beberapa penduduk membersihkan kawasan ini untuk menanam sayur dan pokok buah.

“Pada asalnya kita cuma menjalankan aktiviti tanaman menggunakan tanah dengan membina batas-batas,” katanya.

Katanya, ramai yang berminat berkebun apabila dia memberikan cadangan itu. Bermula dengan 10 orang penduduk. Jadi, ada 10 batas.

Setiap seorang akan membina satu batas dan menjaga batas masing-masing.

Katanya pada masa itu, kerja berkebun agak sukar kerana tidak ada air dan mereka terpaksa mengangkat air daripada rumah dengan baldi ke kebun.

Kaedah penanaman juga masih menggunakan cara tradisional, semai benih atas tanah, siram air setiap pagi dan petang.

“Di antara ruang batas, kami juga tanam pokok seperti bendi, terung, kacang panjang dalam beg poli. Pelbagai jenis sayur kami tanam seperti peria dan cili. Apabila mengeluarkan hasil, pada masa itu kami tidak jual tetapi hanya agih-agihkan sesama kami sahaja.

“Saya pernah dapat tuai terung yang ditanam oleh saya dan suami dalam beg poli seberat 40 kilogram (kg). Sebelum terung, kami juga tanam cili. Hasilnya pun lebih kurang 1.5kg.

“Tanaman seperti terung perlu penjagaan lebih kerana banyak serangan serangga perosak. Namun kami tidak pakai racun serangga sebab kami lebih suka tanaman semula jadi. Kalau terpaksa, kami gunakan semburan organik,” katanya.

Cabaran lain ialah kebun tersebut tidak berpagar dan tiada penjaga pada waktu malam, menyebabkan haiwan seperti anjing mudah masuk ke kawasan berkenaan. Ketika Ramadan pula, aktiviti berkebun agak terhad sehingga kawasan itu terbiar buat sementara waktu. Keadaan menjadi lebih membimbangkan selepas mereka menemui telur ular di kebun berkenaan. Sejak itu, mereka lebih kerap turun ke kebun untuk membersihkan dan memastikan kawasan tersebut sentiasa terjaga.

Apabila pihak Sunway XFarms menghubungi mereka dan mencadangkan untuk membantu dengan penanaman secara hidroponik, keadaan kebun semakin terurus dan baik. Itulah pertama kali mereka didedahkan dengan kaedah hidroponik yang memudahkan serta tidak perlu lagi mengangkat air dari rumah.

Tidak perlu lagi beli sayur

Suri rumah, Venny Ramasamy, 49, berkata, dia tidak mempunyai pengalaman bertani dan sangat seronok apabila dapat menyertai aktiviti berkebun bersama penduduk Pangsapuri Medan Jaya.

“Ada kawan yang mengajak saya menyertai Kebun Komuniti Medan Jaya. Norlizah juga memaklumkan ada aktiviti menanam sayur dan beri peluang kepada penduduk yang berminat untuk menyertainya.

“Saya pun tiada sebarang pengalaman berkebun tapi saya mahu belajar cara-cara menyemai dan menjaga tanaman supaya tidak rosak. Penduduk yang menyertai aktiviti ini semua mesra dan mudah bekerjasama. Ini membuatkan saya rasa gembira,” katanya.

Menerusi aktiviti itu, Venny yang sudah tinggal di pangsapuri itu sejak tahun 2008 berpeluang belajar cara-cara menanam pelbagai sayur-sayuran seperti bendi, terung, bayam, salad dan sebagainya.

Katanya, berkebun juga dapat menjimatkan belanja dapur kerana tidak perlu lagi membeli sayur.

Lebih menyeronokkan apabila sayur yang ditanam menjadi dan peserta bertukar-tukar hasil tanaman masing-masing. Selebihnya diberi kepada jiran-jiran.

“Pengalaman yang seronok bila menggunakan kaedah hidroponik.

“Mula-mula kita tidak tahu tapi kita belajar sedikit demi sedikit, bagaimana menyemai, letak baja dan cara menjaga air,” katanya.

Kerjasama dengan penduduk

Program Grow & Give dianjurkan oleh Tune Protect dengan kerjasama Sunway XFarms bertujuan menyokong komuniti menerusi amalan pertanian mampan.

Bermula pada Mei 2025, empat unit sistem hidroponik berkuasa solar dipasang di kawasan kebun Pangsapuri Medan Jaya itu. Projek ini membantu meningkatkan akses komuniti kepada sayur-sayuran segar serta memberi pendedahan mengenai pertanian hidroponik dan amalan makanan yang lebih lestari.

Hasil daripada lapan kitaran penanaman yang sudah dijalankan, lebih 22kg sayur-sayuran segar dapat dihasilkan dan diagihkan kepada penduduk.

Projek itu juga membabitkan seramai 179 sukarelawan Tune Protect yang secara kolektif menyumbang lebih 1,000 jam kerja sukarela.

Bagi Iffat Immanena Rydza Mohd Radzy, 29, dia mula menjadi sukarelawan kebun komuniti sejak Mei 2026.

Dia yang bertugas di Jabatan Komunikasi Korporat Tune Protect sejak lima tahun lalu berkata, penyertaannya dalam komuniti itu bermula sejak kebun itu dibuka.

“Kami bermula daripada asas untuk membina kebun hidroponik ini. Sebelum ini, penduduk sudah ada kebun tapi bukan kebun hidroponik dengan tanaman di tanam secara tradisional di atas batas.

“Kami bekerjasama dengan Sunway XFarms memasang kebun hidroponik yang tidak menggunakan banyak sangat air dan tanah. Mula-mula tanam sawi dan salad.

“Awal-awal tuai hasil sekitar empat ke 10kg. Tanaman dituai setiap sebulan sekali,” katanya.

Katanya, dia berminat menjadi sukarelawan selaras dengan misi Tune Protect yang ke arah kelestarian persekitaran.

Sebagai sukarelawan, Iffat Immanena Rydza datang ke kebun sebulan sekali di hujung minggu untuk membantu dan memantau kerja di situ.

Seorang lagi sukarelawan, Jose Irwan Chong, 40,berkata mereka mendapat bimbingan daripada Sunway XFarms mengenai proses hidroponik bermula daripada pembinaan sehingga penuaian.

“Sebagai sukarelawan, kami turut bersama penduduk sejak awal pembinaan sistem hidroponik, menyemai dan menuai hasil tanaman. Kami juga bertanggungjawab memantau kualiti tanaman.

“Apabila terbabit dalam program-program seperti ini, saya dapat tahu yang pertanian ini tidak semestinya memerlukan tanah yang besar.

“Kadang-kadang tanah yang terhad pun kita sudah boleh buat kebun,” katanya.

Jose Irwan yang bertugas di bahagian underwriting Tune Protect berkata, isu keterjaminan makanan dan amalan hidup lestari sentiasa dekat dengan dirinya, terutama dalam membentuk gaya hidup yang lebih bertanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN