Setiap produk Throttle & Timber hanya satu di dunia

Setiap produk Throttle & Timber hanya satu di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali pulang dari menunggang motosikal berkuasa tinggi miliknya, Saipol Sulaiman, 52, meletakkan sahaja topi keledar sama ada di atas rak atau meja, mana yang sempat.

Kadang-kadang terfikir dalam kepalanya, beli mahal-mahal dan cantik-cantik, kenalah ada tempat simpan yang sama nilai dengan topi keledar tersebut.

Sering melihat dalam media sosial tentang tempat letak topi keledar dari luar negara, timbul ilham untuknya membuat produk serupa. Maka bermulalah ‘projek’ tersebut di kediamannya terletak di Shah Alam, Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mula kumpul perkakas sikit-sikit, belajar pelan-pelan. Beli kepingan kayu, potong sendiri, licinkan dengan kertas pasir dan cat.

“Saja-saja buat, kemasan penyudah pada peringkat awal dulu pun tak berapa bagus,” katanya yang merupakan seorang jurutera kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Namun, dia tidak sangka produk dihasilkannya itu diminati beberapa kenalan rapat. Mereka menyuruh Saipol membuatkannya pula untuk mereka.

Tersebar dari mulut ke mulut, produk tersebut semakin hari semakin mendapat perhatian ramai. Bermula sebagai hobi pada 2022, kini pemegang topi keledar jenama Throttle & Timber menjadi sumber pendapatan buatnya.

Pada pertengahan Julai lalu, dibantu anaknya, Amin Syafi, mereka mula membuka tempahan kepada umum. Dalam tempoh dua minggu diuar-uarkan dalam media sosial, hampir 10 unit berjaya dijual.

Jumlah tersebut baginya sudah cukup membangkitkan semangat dan minat untuk mengembangkan pasaran. Bagaimanapun, bukan angka yang dikejar, apa yang lebih penting baginya adalah setiap tempahan bukan sekadar berguna dan cantik pada pemilik, tapi ada nilai estetik tersendiri.

“Setiap item adalah eksklusif, berbeza antara satu sama lain. Masing-masing ada identiti tersendiri. “Setiap satu-satu bahannya berbeza, urat kayu berbeza,” ujarnya.

Dalam erti kata lain, sebagai pembeli pemegang topi keledar Throttle & Timber, setiap seorang memiliki produk berlainan. Tidak dinafikan ada banyak lagi pemegang topi keledar dalam pasaran yang mungkin lebih murah tapi ia diperbuat di kilang, bukan dibuat guna tangan.

Screenshot

Ia juga dihasilkan mengikut acuan standard dalam jumlah besar menjadikan setiap kemasan akhir sama sahaja. Untuk produk Throttle & Timber, pelanggan boleh ubah suai seperti mengukir nama sendiri, nama kumpulan atau nama sesiapa sahaja sebagai hadiah.

Saipol menggunakan tiga jenis kayu iaitu rengas, balau dan pain. Proses permulaan agak rumit juga sebab dia perlu ketam bagi meratakan kayu, sapu tiga lapisan cat dan tiga lapis sadur agar cap jari tidak melekat bila dipegang selain mudah dilap jika berhabuk.

Proses pengecatan serbuk kering pada besi pemegang topi keledar pula dihantarnya ke kilang luar yang memakan masa kira-kira seminggu. Justeru, setiap produk mengambil tempoh hampir dua minggu untuk disiapkan.

Skru yang digunakan pula mengikut jenis kayu. Kalau balau dan rengas guna skru tork manakala skru Philips untuk pain.

Pelanggan juga boleh pilih sama ada mahu digantung pada dinding atau dietakkan atas meja. Boleh pasang dua, tiga atau empat pemegang, ikut pilihan masing-masing.

Bagi tapak, Saipol gunakan bahan yang tidak licin di mana topi keledar tidak akan menggelongsor. Selain itu, ia tidak merosakkan span topi keledar.

Selain topi keledar, boleh juga letak topi, kopiah, jaket atau sarung tangan.

Pemegang topi keledar jenis pain dijual pada harga RM260 manakala balau bermula RM300 dan rengas bermula RM400. Penghantaran dalam Lembah Klang adalah percuma.

Ditanya kenapa dinamakan Throttle & Timber, Saipol menjelaskan, ia merujuk kepada kegunaannya untuk topi keledar motosikal (throttle) dan bahan kayu yang digunakan (timber).

Bagi yang berminat nak tempah boleh hubungi talian 016-4067238 atau menerusi Instagram @throttlextimber.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini