DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh berkata bahawa mereka tidak dimaklumkan oleh Arab Saudi mengenai pelaksanaan hukuman mati terhadap dua rakyat negara itu di kota suci Mekah baru-baru ini.
Bagaimanapun, Bangladesh hanya diberitahu oleh Arab Saudi selepas hukuman berkenaan dilaksanakan, menurut laporan media tempatan.
Seorang lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh dihukum mati Rabu lalu selepas disabitkan melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah masjid, menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Kementerian itu tidak memperincikan bentuk perbuatan yang dilakukan.
Bangladesh berkata, pihaknya telah menghubungi kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.
Kedua-dua negara Islam itu mempunyai hubungan rapat berikutan persamaan agama dan hubungan ekonomi yang kukuh.
Lebih tiga juta warga Bangladesh bekerja dan menetap di Arab Saudi, kebanyakannya dalam pekerjaan bergaji rendah,.
Berita mengenai pelaksanaan hukuman mati terhadap dua individu itu mencetuskan kebimbangan orang ramai di Bangladesh.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, kedua-dua warga Bangladesh itu disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati di bawah prinsip takzir, yang dalam undang-undang Islam merujuk kepada hukuman yang ditentukan mengikut budi bicara hakim.
Kenyataan kementerian itu menyatakan hukuman berkenaan dijatuhkan kerana kesalahan yang dilakukan dianggap serius selain mencemarkan kesucian masjid.
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Bangladesh, Shama Obaed Islam berkata, negaranya telah menghubungi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat mengenai kesalahan yang dilakukan dan prosiding undang-undang dalam kes itu. – AGENSI











