Dua dekad mewarnai industri fesyen tanah air menjadi inspirasi kepada Hatta Dolmat untuk tampil dengan koleksi istimewa sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026.
Koleksi itu bukan sahaja meraikan perjalanan 20 tahunnya berkarya, tetapi turut menyingkap sisi dirinya sebelum bergelar pereka fesyen.
Sisi tersebut banyak dipengaruhi oleh minatnya terhadap seni lukis yang sudah dipupuk sejak kecil.

Elemen seni itu kemudian diterjemahkan menerusi koleksi kali ini apabila hasil lukisan tangannya diolah menjadi tekstil sebelum dihasilkan sebagai busana.
“Koleksi ini dekat di hati saya kerana menggabungkan tiga komponen utama iaitu lukisan, fabrik dan fesyen yang membentuk identiti diri sebagai pereka.
“Saya mahu membawa pengalaman dari kampung halaman di Melaka termasuk kenangan melihat matahari terbenam, tempat saya belajar melukis dan bagaimana keluarga mengajar saya mengenai seni,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran KLFW baru-baru ini.
Koleksi berkenaan menampilkan 22 rekaan pakaian sedia dipakai (RTW) yang bakal diperagakan pada malam penutup KLFW.
Dalam segmen kedua, Hatta turut mengetengahkan 10 rekaan avant garde berkonsepkan fantasi.
Pendekatan itu dipilih bagi menggambarkan perubahan dalam industri fesyen tempatan yang semakin berkembang mengikut peredaran masa.
“20 tahun dahulu fesyen lebih banyak tertumpu kepada rekaan fantasi, tetapi kini pendekatan RTW memberi ruang kepada rekaan yang lebih dekat dengan pemakai tanpa mengetepikan elemen kreativiti,” katanya.
Tampil lebih 50 pereka, jenama
Bertemakan ‘Destinasi: Tanah Air’, edisi ke-14 acara fesyen terbesar negara itu menghimpunkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan.
Ia berlangsung selama seminggu dari 3 hingga 9 Ogos bertempat di lokasi sama iaitu Esplanade, KLCC.
Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata, antara kelainan kali ini adalah kemunculan berganda nama besar seperti Rizman Ruzaini dan Fiziwoo.

Rizman Ruzaini dijadualkan menampilkan dua pertunjukan fesyen berturut-turut, manakala Fiziwoo pula mengetengahkan Woo Brothers, barisan pakaian lelaki yang menjadi kesinambungan kepada label utama mereka.
Turut membuat penampilan sulung di pentas KLFW ialah label Plaza, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI.
Selain itu, segmen Fashion Forward Batik Malaysia bakal menampilkan 30 rekaan eksklusif batik Malaysia Timur dan Barat hasil sentuhan 10 pereka tempatan.
“Acara ini bukan sekadar siri pertunjukan fesyen, sebaliknya merupakan satu pengalaman komuniti yang menyatukan pencinta fesyen, pencetus trend dan segenap pengunjung untuk berhimpun serta menyaksikan semangat, kreativiti dan bakat tempatan yang dizahirkan dalam setiap rekaan,” katanya.










