Obesiti ancam kesihatan generasi muda

Obesiti ancam kesihatan generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Orang hanya nampak saiz badan dan kemudian menghina. Hari ini saya bersuara supaya golongan macam saya tidak rasa keseorangan,” kata Muhammad Mikhael Qaiser Yuzaini, 13, meluahkan isi hatinya.

Bertubuh gempal dengan beratnya yang pernah mencecah 165 kilogram (kg) dan ukuran pinggang sekitar 137 sentimeter, remaja ini terpaksa menanggung beban emosi sejak kecil akibat stigma masyarakat mengenai penampilannya.

Malah, ketika di tahun empat, dia pernah dibuli rakan sekelas dengan digigit dan diejek ‘budak gemuk’.

Mujurlah, ketika itu guru segera mengambil tindakan dan memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.

Ramai menganggap dia banyak makan dan tidak bersenam hingga obesiti, hakikatnya diet Muhammad Mikhael Qaiser sentiasa dipantau oleh ibunya, Zaliza Matsom sejak kecil, namun entah mengapa berat badannya tetap naik.

“Mudah bagi orang lain untuk menghakimi saya tetapi mereka tidak tahu, saya berusaha untuk menurunkan berat badan dengan bersenam menaiki treadmill satu jam setiap hari sejak awal tahun ini.

“Selain itu, saya juga elakkan minuman manis dan berkarbonat serta makanan viral. Syukur kini berat sudah menurun kepada 105 kg,” katanya.

Zaliza berkata, ketika dilahirkan, berat anaknya itu ialah 2.6 kg dan angka itu naik mencanak apabila usianya mencecah enam bulan.

“Saya hanya perasan anak montel bila keluarga dan kenalan sering sebut tentang tubuhnya. Sebenarnya, saya pun hairan bagaimana berat badannya naik.

“Sejak lahir dia minum susu botol dan selepas berhenti (susu), saya berikannya bijirin. Berat badannya terus meningkat walaupun saya berusaha menjaga pemakanannya secara sihat.

“Setiap hari saya bangun pukul 3.30 pagi semata-mata mahu memasak bekalnya ke sekolah,” katanya.

Kata Zaliza, berat badan anaknya itu sukar diturunkan berkemungkinan disebabkan faktor genetik kerana keluarga bapanya yang rata-rata bertubuh besar.

Namun, sebagai ibu, dia akui wujud rasa bimbang Muhammad Mikhael Qaiser berdepan risiko penyakit kronik apabila dewasa nanti.

“Saya risau kalau berat badannya tidak terkawal dan perlu menanggung penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi atau kencing manis di usia semuda 20-an,” katanya ketika ditemui dalam forum bertajuk

‘Menangani Beban Obesiti Remaja: Penyelesaian Kolaboratif untuk Malaysia yang Lebih Sihat’ baru-baru ini.

Panel lain dalam forum itu ialah Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), Prof. Dr. Rohana Abdul Ghani; Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Prof. Dr. Muhammad Yazid Jalaludin dan Naib Pengarah

Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Noraryana Hassan.

Muhammad Mikhael Qaiser adalah antara lebih 50 peratus populasi dewasa di Malaysia yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, menjadikan negara ini antara yang paling terkesan di rantau Asia Tenggara.

Lebih membimbangkan, fenomena itu kini semakin ketara dalam kalangan remaja.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 melaporkan, sebanyak 13.6 peratus remaja Malaysia kini hidup dengan obesiti.

Peningkatan obesiti dalam kalangan remaja boleh mengancam masa depan generasi muda, jika tindakan segera tidak diambil, sekali gus memberi tekanan besar kepada institusi keluarga, masyarakat dan sistem penjagaan kesihatan negara.

Hapuskan stigma
Sementara itu, Rohana berkata, obesiti dalam kalangan remaja bukan sekadar isu gaya hidup tetapi ia adalah penyakit kronik yang rumit.

Justeru, ia memerlukan tindakan menyeluruh daripada aspek perubatan, dasar dan sokongan.

Katanya, remaja yang mendapatkan rawatan obesiti tidak dirujuk ke pakar psikolpgi bagi melihat kesannya ke atas mereka dan isu yang dialami.

“Jadi, saya berpendapat perlu ada perubahan polisi dalam Kementerian Kesihatan apabila merawat remaja tidak kira mereka menghidap obesiti, diabetes atau hipertensi kerana pakar pediatrik lebih terlatih untuk merawat mereka.

“Di MYOS, kami menyeru lebih banyak pendidikan dan kesedaran diberikan kepada pengamal kesihatan supaya masyarakat lebih celik mengenai isu ini agar pengesanan awal dapat dilakukan,” katanya.

Selain itu, katanya, stigma terhadap obesiti perlu dihapuskan supaya remaja mendapat rawatan sewajarnya sebelum menjadi orang dewasa yang sakit.

“Setiap kanak-kanak akan memasuki alam remaja yang unik, namun mereka masih tidak boleh membuat keputusan berkaitan gaya hidup dan pemakanan sihat.

“Di sekolah, mereka terpaksa makan makanan yang dijual dan di rumah pula, mereka makan apa sahaja yang ada kerana ibu bapa tidak memasak. Jadi, apa keputusan yang mereka perlu dan dibenarkan dibuat?

“Mereka mahu memilih sesuatu yang lebih baik tetapi tidak boleh memasak sendiri dan jika boleh pun, pilihannya ialah memasak makanan kurang sihat,” katanya.

 


Hati berlemak

Muhammad Yazid berkata, sebanyak 62 peratus kanak-kanak dan remaja obesiti didapati mengalami hati berlemak.

Penemuan itu hasil pengumpulan data selama 20 tahun lalu, menerusi klinik obesiti pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Ini bermakna di usia bawah 17 tahun, mereka sudah mengalami penyakit ini. Bolehkah kita bayangkan apa yang bakal terjadi kepada mereka kelak? Penyakit hati berlemak berisiko menjadi kanser hepatocellular carcinoma.

“Sejak dulu, kami menjalankan vaksinasi Hepatitis B yang menjadi punca utama kanser hati. Bagaimanapun, kanser itu tidak berkurangan di negara ini kerana peningkatan kes obesiti,” katanya.

Selain itu, katanya, semakin ramai kanak-kanak dan remaja didapati menghidap penyakit berkaitan gaya hidup seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi dan penyakit hati berlemak.

Ini adalah satu amaran jelas, malah NHMS 2024 melaporkan yang 13.6 peratus kanak-kanak dan remaja hidup dengan obesiti, manakala 14.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan.

 

Tabiat makan sihat bermula dari rumah
Noraryana berkata, penyelesaian isu obesiti remaja memerlukan kerjasama merentas sektor pendidikan, perancangan bandar dan dasar pemakanan.

Ia penting untuk menyusun langkah pencegahan serta rawatan yang lebih adil, inklusif dan berasaskan data semasa.

“Dari segi polisi dan pencegahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kami mengambil langkah pencegahan primer, sekunder dan tertiari.

“Antara tindakan penting yang boleh diambil adalah memformulasikan semula minuman manis dalam bungkusan atau tin dengan mengurangkan kandungan gulanya,” katanya.

Langkah kedua adalah pencegahan di bawah Agenda Kebangsaan Malaysia termasuk kempen makan suku-suku separuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN