Bahaya ‘pagar’ makan rasuah

Bahaya ‘pagar’ makan rasuah

amalan rasuah memudaratkan diri, agama dan negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah timbul pertikaian tentang perkataan sebenar pepatah Melayu ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’ sama ada ia benar-benar merujuk kepada pagar atau burung pegar?

Ada yang kekal mempertahankan asal perkataan pagar dan bukannya burung pegar kerana ia bunga bahasa yang penuh kiasan dan bukannya makna hakiki yang perlu difahami secara literal.

Banyak contoh lain mirip pepatah pagar seperti pancing makan umpan dan tongkat membawa rebah. Apa pun polemiknya, pepatah itu menyinggung perihal pengkhianatan amanah yang dilakukan orang yang sepatutnya menjaga amanah.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tindakan luar biasa serta amaran keras Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berhubung isu rasuah, khususnya membabitkan aktiviti di sempadan negara.

Ia berikutan operasi bersepadu yang dijalankan agensi terbabit yang menatijahkan penafian kemasukan 126 warga asing ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).

Semua warga asing itu dinafikan kemasukannya kerana alasan mereka yang rapuh serta meragukan.

Selepas itu, seorang pegawai penguatkuasa ditahan di Terminal 1 KLIA, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan salah laku counter setting atau mengatur laluan yang melibatkan penemuan wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan nombor pasport yang khusus.

Menyusul kemudian, penahanan dua pegawai penguatkuasa sedang bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor yang disyaki terbabit kegiatan ‘pasport terbang.’

Terbaharu, pada 13 Ogos 2025, kita dikejutkan lagi dengan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka disyaki terlibat membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah.

Semua kes ini seakan mengesahkan kebenaran pepatah ‘pagar makan padi’.

Hal ini kerana mereka semua yang dimuliakan dengan tugasan menjaga sempadan negara telah mengkhianati amanah tersebut sehingga tergamak memakan habuan ‘padi’ yang ‘haram’ daripada pihak tertentu.

Tambah malang apabila majoriti yang ditahan beragama Islam yang lazimnya teringat dengan arahan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu khianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu khianati amanah (yang dipertanggung-jawab pada) kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Anfal: 27-28)

Hujung ayat ini digandingkan dengan sebutan harta serta anak-pinak kerana biasanya kedua-dua perkara ini menjadi pendorong kuat manusia untuk mengkhianati amanah.

Amanah dikorbankan demi mengumpul harta dan memenuhi kehendak anak-pinak serta keluarga.

Bagi konteks dunia moden, sudut penjagaan sempadan menjadi semakin luas merangkumi lautan (pelabuhan), daratan (sempadan fizikal antara negara), udara (lapangan terbang) dan alam maya.

Pihak kerajaan melalui agensi tertentu turut mengawal sempadan maya bagi mengelakkan penggodam dalam dan luar negara menceroboh laman sesawang atau pelbagai agensi penting kerajaan.

Semua sempadan negara wajib dijaga kerana ia melambangkan kedaulatan sesebuah negara merdeka.

Dalam Islam tugas menjaga sempadan negara dipanggil sebagai “Ribat.”

Ia kerja mulia yang diarah Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan menjaga sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (ali-‘Imran: 200)

Nabi SAW turut memuji orang yang terlibat menjaga sempadan dengan ganjaran luar biasa, iaitu pahala infiniti sampai kiamat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sehari dan semalam bertugas menjaga sempadan negara (daripada pencerobohan musuh), jauh lebih baik daripada puasa dan menghidupkan malamnya selama sebulan.

Jika dia mati (ketika tugasan itu), pahala dan rezekinya akan diberikan kepadanya secara berterusan (di dunia – selepas kematiannya sehingga berlakunya kiamat. Dia juga akan beroleh ganjaran hebat di akhirat).

Dia juga akan selamat daripada bencana kubur. (Sahih Muslim, 1913).

Ganjaran besar yang dijanjikan agama itu berpunca daripada jasa mereka menjaga keselamatan umat Islam dan negara.

Pihak yang terlibat menjaga semua sempadan negara secara tidak langsung turut melaksanakan semua Maqasid (Objektif) Syariah iaitu menjaga nyawa, harta benda, keturunan, akal dan maruah. Ini kerana, penceroboh yang masuk ke dalam negara boleh terlibat menggugat semua perkara tersebut.

Lihat sahaja kejadian 15 Ogos lepas, seorang pegawai imigresen wanita cedera diserang seorang wanita warga China di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 akibat salah faham semasa pegawai imigresen tersebut menjalankan tugasnya.

Akibat serangan, pegawai imigresen itu mengalami kecederaan di kepala.

Kesimpulannya, tindakan tegas pihak kerajaan mengawal sempadan dengan ‘pagar’ yang kukuh lagi jitu melalui berbagai agensi seperti SPRM dan AKPS wajar dipuji dan disokong.

Peranan mulia semua agensi ini seiring firman Allah yang mengiktiraf keperluan ‘badan khusus’ mengawal angkara jahat manusia.

Allah SWT berfirman: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman, Punyai kuasa dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah: 251)

Ayuh bersama menjaga sempadan negara. Jika pagar utama ini runtuh kerana pengkhianatan orang dalaman, kesan berantai akan dirasai di seluruh Malaysia.

Si pengkhianat itu nanti akan turut menerima saham jenayah dan dosa penceroboh yang lolos masuk membuat angkara di Malaysia.-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN