Transformasi Digital dalam Sumber Manusia dan PKS

Transformasi Digital dalam Sumber Manusia dan PKS

ARULKUMAR SINGARAVELOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Transformasi digital menjadi elemen penting dalam dunia perniagaan hari ini, terutamanya dalam bidang sumber manusia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dalam era teknologi, keupayaan untuk mengintegrasikan teknologi digital ke dalam operasi harian merupakan satu keperluan yang penting bagi organisasi yang ingin kekal relevan dan berdaya saing. 

Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemubual Ketua Pegawai Eksekutif HR Forum Malaysia, Arulkumar Singaraveloo dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics, Roshan Thiran mengenai topik Transformasi Digital dalam Sumber Manusia dan PKS ini.

 

UTUSAN: Sebagai platform sumber manusia (HR) yang terkemuka di Malaysia, Malaysia Forum HR memiliki keunikan dalam landskap HR tempatan. Bolehkah anda kongsikan pandangan tentang cabaran yang dihadapi oleh profesional HR di Malaysia, terutamanya dalam konteks transformasi digital dan persekitaran tempat kerja yang dinamik dan berkembang?

ARULKUMAR: Di Malaysia, keadaan tempat kerja sedang berubah ke fasa digital, dengan trend digital yang dijangka berterusan untuk beberapa tahun, perubahan ini dapat memanfaatkan perniagaan melalui automasi tugasan yang mampu meningkatkan produktiviti.

Bidang HR menghadapi cabaran untuk memahami kelebihan teknologi digital dan bagaimana ia dapat digunakan secara berkesan oleh pekerja.

Perniagaan perlu menumpukan pada pendigitalan proses kerja dan amalan pengurusan bakat. Ia membantu menguruskan perkembangan kerjaya dan latihan semula (reskilling) tenaga kerja dengan lebih proaktif.

Jadi, golongan profesional HR perlu lebih kedepan dalam proses peralihan kepada Digital HR dan Analitik Data. Hal ini penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran yang lebih digital.

Pemimpin HR harus lebih berinovatif dan terbuka kepada pembelajaran digital melalui platform dalam talian. Ia bertujuan untuk menyokong latihan semula tenaga kerja dan menyesuaikan diri dengan cabaran kerja jarak jauh.

Bagi tujuan tersebut, kami di Malaysia HR Forum menyediakan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif bagi menangani trend dan cabaran masa kini yang telah disesuaikan dengan keperluan golongan profesional HR dan organisasi. Ini termasuk menawarkan kursus latihan awam dan kursus dalaman dengan kos yang efektif, khidmat nasihat khas, perkongsian pengetahuan melalui e-book, webinar, platform komuniti dan juga program retreat kepimpinan.

Kami juga menganjurkan persidangan dan pameran untuk menghubungkan pemimpin industri dan menawarkan templat percuma untuk HR bagi menyelaraskan proses operasi.

Inisiatif ini menyokong golongan profesional HR dalam membangunkan kemahiran berkaitan, menangani cabaran dan sentiasa mengetahui trend terkini industri serta memupuk amalan HR yang berkesan dalam era digital.

Apakah perkara penting atau inovasi yang dilihat oleh Malaysia HR Forum sebagai satu keperluan untuk golongan profesional HR di Malaysia untuk mengemudi landskap digital?

ARULKUMAR: Terdapat beberapa elemen penting dan inovasi yang diperlukan oleh golongan profesional HR di Malaysia untuk mengemudi landskap digital selain meningkatkan keupayaan mereka.

Mempelbagaikan kumpulan bakat (talent pool) dengan menerima tenaga kerja daripada pelbagai budaya di Malaysia. Ini akan membantu organisasi mengakses pelbagai set kemahiran dan memperoleh perspektif berlainan untuk pasukan yang lebih kuat.

Manfaatkan sokongan kerajaan dengan mendapatkan insentif dan program yang ditawarkan untuk memacu inovasi dan pertumbuhan.

Dan mengukuhkan pasukan melalui pembentukan pakatan strategik dengan syarikat lain, syarikat pemula (startup) dan institusi pendidikan untuk berkongsi sumber dan kepakaran.

 

Bagi Leaderonomics pula, bagaimanakah Leaderonomics membimbing organisasi tempatan dan PKS dalam membolehkan penyertaan mereka dalam ruang digital dan dapat diselaraskan dengan tuntutan zaman digital?

ROSHAN: Leaderonomics menyediakan pemimpin yang bukan sahaja mahir mengemudi landskap digital semasa tetapi juga cukup berwawasan untuk menyesuaikan diri dengan aliran digital masa hadapan, termasuk memupuk minda pembelajaran berterusan, ketangkasan dan daya tahan.

Kami mengiktiraf keunikan setiap organisasi dan PKS. Oleh itu, Leaderonomics menawarkan modul pembelajaran yang disesuaikan dengan fokus pada transformasi digital, keselamatan siber dan amalan digital yang inovatif.

Modul ini direka bentuk untuk meningkatkan kemahiran digital merentas semua peringkat organisasi, memastikan bahawa pasukan bukan sahaja peserta dalam era digital tetapi juga penyumbang kepadanya.

Leaderonomics memudahkan platform, di mana PKS boleh bekerjasama dengan syarikat pemula digital dan pakar teknologi dalam ekosistem kami.

Kerjasama ini menggalakkan pertukaran idea, penciptaan bersama ke arah penyelesaian digital, perkongsian pengalaman pembelajaran, memacu pertumbuhan kolektif dan inovasi digital.

Selain penggunaan teknologi, Leaderonomics memberi tumpuan kepada memupuk budaya digital dalam organisasi. Ini melibatkan pembentukan semula nilai, tingkah laku dan amalan organisasi untuk menerima perubahan, mengambil risiko dan berinovasi secara berterusan.

Secara dasarnya, Leaderonomics berfungsi sebagai pemangkin transformasi, membimbing organisasi tempatan dan PKS melalui selok-belok landskap digital, memastikan mereka serba lengkap, berdaya tahan dan tangkas dalam menghadapi cabaran dan merebut peluang yang ada dalam era digital.

 

PKS sering menghadapi cabaran unik dalam perjalanan transformasi digital. Bagaimanakah Leaderonomics menyokong PKS dalam mengatasi cabaran ini dan memanfaatkan teknologi digital untuk pertumbuhan dan daya saing?

ROSHAN: Menyedari bahawa PKS mempunyai keperluan unik, Leaderonomics menawarkan program pembangunan kepimpinan yang tertumpu pada transformasi digital.

Program ini direka bentuk untuk melengkapkan pemimpin PKS dengan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran yang diperlukan untuk memimpin organisasi mereka dengan berkesan dalam era digital, termasuk pemikiran strategik, celik digital dan perubahan pengurusan.

Selain itu, memahami kekangan belanjawan yang sering dihadapi oleh PKS, Leaderonomics menyediakan penyelesaian pembelajaran dan pembangunan digital yang mampu milik dan kebolehskalaan, termasuk kursus dalam talian, webinar dan bengkel yang merangkumi kemahiran dan strategi digital utama..

Sementara itu, Leaderonomics memudahkan peluang rangkaian yang menghubungkan PKS dengan pakar teknologi, usahawan digital dan PKS lain yang berjaya dalam pergerakan landskap digital.

Platform ini membolehkan PKS berkongsi pengalaman, belajar daripada kejayaan dan cabaran masing-masing, dan meneroka potensi kerjasama yang boleh mempercepatkan usaha transformasi digital mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN