Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027 - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027

MALAYSIA perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara melebihi lima peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut bagi mengekalkan status negara maju. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, disokong permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor serta pelaksanaan projek pelaburan yang telah diluluskan.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, permintaan kukuh terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor, dijangka terus memberi manfaat kepada ekonomi negara.

“Pelaburan yang telah diluluskan pula dijangka mula memasuki fasa pelaksanaan tahun depan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, sektor pelancongan yang menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa tahun lalu dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan, terutama menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia.

“Jumlah pelaburan yang telah diluluskan juga memberi keyakinan terhadap prospek pelaburan negara pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pertama bertajuk Tinjauan Ekonomi Dunia, Serantau dan Malaysia sempena Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan (NEOC) di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, prospek pertumbuhan ekonomi pada 2027 masih berdepan risiko luaran, termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah dan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

Mengulas prestasi ekonomi tahun ini, Sulaiman berkata, unjuran terkini MIER menunjukkan ekonomi negara berpotensi berkembang antara lima hingga 5.5 peratus pada 2026.

“Pertumbuhan itu merupakan prestasi yang kukuh dan berdaya tahan, sebahagiannya disokong pengeluaran minyak yang mencukupi serta kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak.

“Selain itu, unjuran Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut menunjukkan prospek ekonomi yang positif.

“Dari sudut penawaran, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga dianggarkan sekitar 5.5 peratus, dipacu sektor pembuatan yang berkembang 7.7 peratus, selain sektor pembinaan dan perkhidmatan.

“Pertumbuhan ini menunjukkan ekonomi negara disokong oleh asas sektor yang lebih pelbagai, khususnya pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, ringgit dijangka menamatkan 2026 pada paras hampir sama seperti awal tahun, iaitu sekitar RM4.10 berbanding dolar AS.

“Berdasarkan pergerakan kadar pertukaran dari 2 Januari hingga 20 November 2026, ringgit pernah mengukuh kepada RM3.88 berbanding dolar AS pada 27 Februari sebelum susut kepada RM4.15 pada 22 Jun.

“Pada 20 November lalu, ringgit berada pada paras RM4.11 berbanding dolar AS, mencatatkan penyusutan sebanyak 1.4 peratus sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, berbanding sekumpulan mata wang rakan dagang, ringgit mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus.

“Bagaimanapun, prestasi ringgit masih lebih baik berbanding beberapa mata wang serantau dan utama lain, termasuk rupiah Indonesia (8.0 peratus), peso Filipina (7.0 peratus), baht Thailand (5.9 peratus), euro (5.7 peratus) dan dolar Taiwan (3.6 peratus).

“Secara keseluruhannya, ringgit menunjukkan pergerakan turun naik sepanjang tahun ini, namun dijangka kekal stabil berbanding dolar AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini