KECEKALAN menghadapi fasa sukar sebagai ibu tunggal menjadi titik tolak kepada Sofea Adilla Shamsul Rizal, 24, untuk memulakan langkah baharu dalam dunia perniagaan dengan menubuhkan jenama pencuci mulut, Deliciosa.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, keinginan untuk membina sesuatu yang menjadi hasil usaha sendiri mendorongnya meneroka bidang makanan dan pencuci mulut sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
“Menjadi ibu tunggal dan membesarkan dua orang anak sendirian sebelum ini datang dengan tanggungjawab yang sangat besar daripada keperluan mereka sehinggalah kepada kestabilan kewangan.
“Pada waktu itu, saya belajar untuk menjadi lebih kuat dan berdikari. Saya tidak mahu terlalu lama melihat diri sebagai seseorang yang sedang melalui kesusahan, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai proses pembelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kekuatan terbesar untuk terus bangkit datang daripada anak-anak kerana beliau mahu mereka membesar dengan melihat bahawa seorang ibu juga mempunyai impian, cita-cita dan kemampuan untuk membina sesuatu dalam kehidupannya.
“Sejujurnya, bukan setiap hari saya kuat. Ada masa saya penat dan rasa mahu berhenti, tetapi kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi kuat untuk memulakan sesuatu,” katanya.
Mengulas mengenai penawaran produk, Deliciosa mengetengahkan pelbagai jenis pencuci mulut seperti brownies, kek dan Biscoff cheesecake yang dihasilkan mengikut cita rasa pelanggan.
Selain jualan pencuci mulut, beliau turut menyediakan servis stesen ‘pancake’ mini untuk pelbagai jenis acara seperti majlis hari jadi, perkahwinan dan acara tertutup yang berkonsepkan penyediaan dan hiasan secara langsung di lokasi majlis.
“Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, saya turut membekalkan pelbagai jenis kuih raya secara borong. Pembekalan kuih raya ini menjadi salah satu aktiviti perniagaan tahunan saya sejak 2024.
“Buat masa sekarang, saya lebih memberi tumpuan kepada servis stesen ‘pancake’ mini pada setiap hujung minggu kerana permintaan yang semakin meningkat dan menerima banyak tempahan untuk pelbagai majlis. Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan dan saya berharap dapat terus mengembangkan perkhidmatan ini pada masa akan datang,” katanya.
Bercerita mengenai permulaan perniagaan, Sofea Adilla berkata, Deliciosa dimulakan secara sederhana dengan bermodalkan sumber sedia ada sebelum operasi dikembangkan secara berperingkat.
Katanya, beliau menguruskan sendiri hampir keseluruhan operasi perniagaan dari awal hingga akhir termasuk persediaan produk, pengurusan tempahan, pembungkusan, pengeluaran dan penghantaran kepada pelanggan.
“Pada awalnya, saya dan suami melakukan hampir semua perkara sendiri bermula daripada menyediakan produk, menguruskan persiapan, melayan pelanggan sehinggalah mengendalikan operasi jualan.
“Saya juga perlu belajar banyak perkara secara praktikal termasuk cara menguruskan stok, mengira kos, menetapkan harga, menjaga kualiti produk dan memahami kehendak pelanggan,” ujarnya.
Katanya, penyertaan dalam pelbagai reruai dan acara jualan banyak membuka ruang kepadanya untuk melihat sendiri maklum balas pelanggan secara terus terhadap produk yang dihasilkan.
“Deliciosa bukan dibina dalam masa sehari. Setiap jualan dan pengalaman memberi sesuatu untuk diperbaiki kerana yang penting bukan bagaimana kita bermula, tetapi sejauh mana kita sanggup belajar untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, kesibukan menguruskan perniagaan serta tanggungjawab membesarkan anak-anak tidak menghalang beliau untuk terus menuntut ilmu apabila kini sedang menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.
“Memang ada hari yang sangat padat dengan urusan perniagaan, keluarga dan pelajaran. Saya belajar untuk menyusun jadual serta mengutamakan perkara yang lebih penting.
“Saya mahu membuktikan bahawa status, masa lalu atau tanggungjawab sebagai seorang ibu dan usahawan bukan penghalang untuk kita terus maju dan mencabar kemampuan diri,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian terbesar yang paling dibanggakan bukan sekadar melihat perkembangan Deliciosa, tetapi perubahan dalam diri sendiri yang kini lebih berani mencuba, yakin membuat keputusan dan tidak takut untuk bermula dari bawah.
Sehubungan itu, beliau menasihati peniaga kecil lain agar tidak membandingkan permulaan masing-masing dengan kejayaan orang lain, sebaliknya sentiasa fokus membina kepercayaan pelanggan dan menjaga kualiti produk.
“Jangan malu dengan perniagaan kecil kerana semua perniagaan besar juga mempunyai permulaannya sendiri. Kita tidak perlu mempunyai kehidupan yang sempurna untuk mula membina masa depan yang lebih baik kerana keberanian untuk bermula semula itulah kejayaan pertama kita,” katanya.-UTUSAN











