KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan mekanisme reformasi cukai yang lebih cekap dan neutral bagi memperkukuh kutipan hasil kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal, ketika hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.321 trilion pada 2025.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, reformasi cukai yang lebih neutral penting bagi memastikan sistem percukaian dapat meningkatkan hasil tanpa mewujudkan kesan cukai bertindih atau beban tidak seimbang kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih menjurus kepada reformasi cukai yang neutral berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun isu sifat regresif GST perlu ditangani menerusi pengecualian serta bantuan tunai kepada golongan yang paling terjejas.
“GST sememangnya lebih menjurus kepada reformasi cukai yang neutral, tetapi kelemahan terbesar GST ialah sifatnya yang regresif.
“Namun, pada pandangan kami, perkara itu boleh ditangani melalui pemberian bantuan tunai sebagai pampasan kepada golongan yang paling terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan kerajaan mengintegrasikan elemen GST ke dalam SST pada taklimat media Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia dan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, GST mempunyai kelebihan kerana dapat mengelakkan kesan cukai bertindih serta unsur cukai yang terbina dalam harga.
“Pengkritik GST sering menegaskan bahawa GST bersifat regresif, tetapi SST juga begitu kerana sudah tentu GST mungkin lebih regresif berbanding SST, namun terdapat kaedah untuk menanganinya melalui pengecualian serta pemberian bantuan tunai sebagai pampasan.
“Kelebihan GST pula ialah ia mengelakkan kesan cukai ke atas cukai iaitu cukai bertindih serta unsur cukai yang terbina dalam harga,” ujarnya.
Apurva Sanghi berkata, antara kelemahan pelaksanaan GST sebelum ini ialah kelewatan dalam pembayaran balik cukai yang perlu ditangani sekiranya sistem berkenaan dipertimbangkan semula.
“Jika isu pembayaran balik itu dapat ditangani, ia tentunya menjadi satu lagi hujah untuk mempertimbangkan GST,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan usaha mengintegrasikan elemen GST ke dalam SST dilihat sebagai usaha menggabungkan aspek kecekapan sistem cukai dengan keperluan melindungi golongan terjejas.
“Saya melihatnya sebagai usaha menggabungkan kecekapan dengan empati dan apabila kedua-duanya digabungkan, risikonya ialah kita mungkin tidak mendapat kedua-duanya.
“Jadi, kita lihat bagaimana eksperimen ini berjalan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perkembangan teknologi dan Infrastruktur Awam Digital (DPI) di Malaysia boleh dimanfaatkan bagi menambah baik mekanisme pembayaran balik cukai.
“Teknologi sudah berkembang pesat dalam tempoh kira-kira 10 tahun lalu, khususnya dari segi DPI di Malaysia.
“Oleh itu, kita boleh memanfaatkan teknologi baharu untuk menambah baik proses dan mekanisme terbabit,” katanya. – UTUSAN











