KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara Asia Timur yang mendapat manfaat daripada lonjakan aktiviti global berkaitan kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama berdepan risiko sekiranya momentum tersebut mula perlahan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Asia, Franziska Ohnsorge berkata, integrasi rantau Asia Timur dalam rantaian nilai global berkaitan AI menjadi antara sumber kekuatan kepada pertumbuhan ekonomi rantau itu.
Katanya, beberapa negara Asia Timur sangat bergantung kepada eksport barangan yang membolehkan perkembangan AI dengan Malaysia, Vietnam dan Thailand antara negara yang paling ketara dalam aspek berkenaan.
“Jika lonjakan global barangan berkaitan AI menjadi perlahan, keadaan itu juga akan menekan pertumbuhan negara-negara kita, khususnya di Asia Timur.
“Sektor elektronik Asia Timur merupakan peserta utama dalam rantaian nilai berkaitan AI, manakala produk berkaitan AI menyumbang lebih separuh daripada pertumbuhan eksport di beberapa negara Asia Timur.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi rantau ini kini 0.3 mata peratusan lebih pantas berbanding jangkaan sebelumnya, disokong antara lain oleh lonjakan aktiviti global berkaitan AI,” katanya pada taklimat media sempena kemas kini ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia secara maya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor elektronik Asia Timur menjadi antara penyumbang utama kepada rantaian nilai berkaitan AI, sekali gus membantu menyokong pertumbuhan ekonomi rantau itu ketika sektor lain berdepan tekanan susulan kos tenaga yang tinggi.
“Barangan berkaitan AI menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pertumbuhan eksport Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam, menunjukkan betapa pentingnya kitaran pelaburan AI global terhadap prestasi perdagangan negara berkenaan.
“Asia Timur merupakan peserta utama dalam rantaian nilai berkaitan AI dan perkara itu membantu menyokong pertumbuhan, walaupun kos tenaga yang tinggi mengekang sektor lain,” katanya.
Bagaimanapun, Franziska Lieselotte berkata, kebergantungan tinggi terhadap aktiviti berkaitan AI turut mendedahkan ekonomi negara terbabit kepada risiko sekiranya berlaku pembetulan atau kelembapan dalam perbelanjaan global terhadap teknologi berkenaan.
“Ini mungkin menjadi kelemahan pada masa depan sekiranya berlaku pembetulan dalam aktiviti global berkaitan AI, yang menjadi antara risiko penurunan kami,” katanya.
Beliau berkata, risiko lain terhadap pertumbuhan rantau itu termasuk harga tenaga yang kekal tinggi serta pengeluaran pertanian yang lebih rendah susulan fenomena El Nino.
Dalam pada itu, beliau berkata, AI bukan sahaja memberi manfaat melalui pengeluaran barangan berkaitan teknologi itu, malah penggunaannya oleh syarikat dijangka meningkatkan produktiviti apabila semakin banyak firma mengintegrasikannya dalam operasi perniagaan.
“Apabila firma semakin biasa dengan AI dan mula menggunakannya, mereka sepatutnya melihat peningkatan produktiviti.
“Bagaimanapun, penggunaan AI dalam kalangan firma masih di peringkat awal, dengan kos menjadi antara faktor yang mengehadkan penerapannya,” katanya. – UTUSAN











