Kenaikan gaji minimum perlu selari produktiviti, keupayaan PMKS - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji minimum perlu selari produktiviti, keupayaan PMKS

PENINGKATAN gaji minimum boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang pelarasan gaji minimum perlu mengambil kira pertumbuhan produktiviti, kos operasi dan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyerap kenaikan kos buruh, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Penasihat Kanan MEF bagi Kerajaan, Media dan Hubungan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan gaji minimum bukan hanya melibatkan peningkatan gaji asas, sebaliknya turut meningkatkan keseluruhan kos menggaji pekerja.

“MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi kenaikan gaji mesti mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan keupayaan perniagaan menyerap kos tambahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan juga perlu berhati-hati sekiranya pelarasan gaji minimum menyebabkan kadar itu meningkat jauh melebihi RM1,700 ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kenaikan kepada RM1,900 mewakili peningkatan kira-kira 11.8 peratus, manakala RM2,000 meningkat kira-kira 17.6 peratus.

“Kenaikan lebih 10 hingga 12 peratus pada kadar gaji minimum memerlukan pertimbangan yang sangat serius.

“Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil, kenaikan ketara kos buruh boleh memberi tekanan besar terhadap keupayaan mereka mengekalkan pekerja, berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, kos sebenar yang ditanggung majikan juga merangkumi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), levi Pembangunan Sumber Manusia (HRD) jika berkenaan, kerja lebih masa, cuti, latihan dan kos berkaitan pekerjaan lain.

“MEF berpandangan pertumbuhan gaji perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti bagi memastikan kenaikan pendapatan pekerja dapat dikekalkan oleh perniagaan.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja meningkat 5.5 peratus pada suku kedua 2026 kepada RM46.50 sejam.

“Malaysia tidak seharusnya memisahkan gaji daripada produktiviti. Jika kita mahukan gaji lebih tinggi, kita juga mesti meningkatkan produktiviti.

“Produktiviti yang lebih tinggi membolehkan perniagaan membayar gaji lebih baik sambil kekal berdaya saing,” katanya.

Syed Hussain berkata, jika peningkatan kos pekerjaan jauh lebih tinggi berbanding peningkatan produktiviti, perniagaan mungkin bertindak melalui kenaikan harga, mengurangkan pengambilan pekerja, mengurangkan waktu bekerja atau meningkatkan automasi.

“PMKS juga memainkan peranan penting sebagai saluran kemasukan golongan muda dan pendatang baharu ke pasaran pekerjaan dengan menyediakan pekerjaan serta peluang membangunkan kemahiran.

“MEF turut menyokong pendekatan kajian gaji minimum setiap dua tahun bagi memberikan tempoh yang lebih mencukupi kepada majikan untuk merancang operasi, melabur dalam produktiviti dan meningkatkan keupayaan membayar gaji lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×